LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan kapal tangki yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 30.2 batu nautika tenggara Pulau Jarak dekat sini petang semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kapal tersebut ditahan oleh bot ronda pasukan itu yang sedang melaksanakan Op Pintas di sekitar perairan Perak pada pukul 4.15 petang.
“Kami menerima maklumat pengesanan daripada Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) mengenai sebuah kapal tangki yang mencurigakan di sekitar Pulau Jarak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama katanya, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut turut melaporkan pengesanan terhadap kapal tersebut kepada pusat operasi Maritim Negeri Perak.
Sehubungan itu jelasnya, dua aset termasuk Kapal Maritim (KM) Malawali diatur gerak ke lokasi untuk membuat pemeriksaan serta penggeledahan dan mendapati kapal yang berdaftar di Liberia itu kosong tanpa muatan.
Menurutnya, kapal itu dikendalikan 19 kru termasuk master, terdiri daripada warga tempatan, Rusia, Liberia dan Ukraine berusia sekitar 30 hingga 65 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Chittagong, Bangladesh, menuju ke Singapura.
“Kapal tersebut ditahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) kerana telah melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM).
“Kesemua kru bersama kapal ditahan di ‘South East Point’ (SEP) di perairan Pulau Pangkor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, penahanan itu membuktikan Maritim Malaysia sentiasa bersiap sedia menguatkuasakan undang-undang di perairan bagi membendung kegiatan jenayah di laut tidak mengira waktu dan ketika walaupun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.