PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki melecur di seluruh badan selepas rumahnya di Jalan Tan Sri Manickavasagam, di sini terbakar pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.02 pagi.
“Seramai tujuh anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih dan BBP Kajang ke lokasi.
“Kami mendapati kebakaran melibatkan sebuah bilik di sebuah rumah teres di lokasi berkenaan.
“Bagaimanapun, kebakaran itu dipadamkan oleh orang awam sebelum bomba tiba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Norazam, akibat kebakaran itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun melecur di seluruh badan.
“Difahamkan, ketika kejadian hanya kanak-kanak berkenaan berada di rumah itu.
“Kanak-kanak itu kini dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan,” katanya.- UTUSAN ONLINE