‘Kami pun warganegara Malaysia’ - Utusan Malaysia

‘Kami pun warganegara Malaysia’

PERKAMPUNGAN Bukit Malut yang dikatakan didiami pendatang asing tanpa izin. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Penduduk warga Myanmar yang tinggal di Bukit Malut di sini mendakwa keturunan asal mereka merupakan rakyat Kedah yang dikenali Melayu Islam Kedah (MIK).

Atas alasan itu, mereka mendakwa kerajaan telah membenarkan mereka tinggal di Bukit Malut apabila memasuki negara ini pada awal 80-an.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, imam Masjid Bukit Malut, Abdullah Mohd, 50, berkata, kebanyakan warga Myanmar yang tinggal di Bukit Malut telah mendapat kerakyatan Malaysia dan memiliki kad
pengenalan atau MyKad.

Menurutnya, penduduk terbabit layak mendapat pengiktirafan sebagai rakyat Malaysia kerana mereka juga sebahagian daripada rakyat negara ini.

“Mengikut Perlembagaan Persekutuan (Perkara 19), ahli keluarga warga Myanmar itu wajar mendapat MyKad melalui proses naturalisasi,” katanya.

Bagaimanapun penduduk di sini kesal apabila sebahagian rakyat di negara ini seolah-olah tidak dapat menerima kehadiran mereka malah dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

Selain itu tambahnya, kerajaan sepatutnya memberi keistimewaan sama kepada penduduk di sini seperti rakyat tempatan lain memandangkan mereka juga sebahagian daripada warganegara Malaysia yang sah.

“Tidak adil bagi penduduk di Bukit Malut dianaktirikan oleh kerajaan walaupun mereka telah lama mendapat kerakyatan. Kami pun rakyat Malaysia dan perlu mendapatkan kemudahan sama seperti masyarakat lain.

“Masyarakat luar tidak sepatutnya mempertikai status penduduk di sini selepas mereka diberikan MyKad,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali Jamaluddin, 57, berkata, penduduk di sini telah lama mengharapkan kerajaan membela nasib mereka selepas mendapat pengiktirafan kewarganegaraan Malaysia.

Menurutnya, mereka selama ini menanti kerajaan menyediakan kawasan penempatan baharu yang selesa dan tersusun berbanding sekarang ini.

“Kami ingin memastikan generasi baharu daripada keluarga MIK di Bukit Malut ini tidak terabai masa depan mereka,” katanya yang bekerja sebagai nelayan.

Bagaimanapun dia mengakui terdapat segelintir penduduk di sini yang masih tidak mendapat MyKad dan dikategorikan sebagai PATI.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Yaakub, 58, pula berkata, ramai dalam kalangan ahli keluarga warga Myanmar yang diberikan kerakyatan mendapat pekerjaan di beberapa jabatan dan agensi kerajaan.

Selain itu tambahnya, jumlah pelajar dari keluarga yang tinggal di Bukit Malut juga berjaya melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi.

“Saya harapkan kerajaan tidak memandang sebelah mata terhadap penduduk di Bukit Malut, sebaliknya perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya