Kalimah Allah: Bertenang, serah kepada mahkamah - Utusan Malaysia

Kalimah Allah: Bertenang, serah kepada mahkamah

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Rakyat negara ini diminta bertenang dan meyakini institusi mahkamah yang menyelia proses undang-undang negara berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perkara itu ketika ini masih belum dimuktamadkan tetapi ia disensasikan segelintir pihak dan dijadikan isu politik.

“Di peringkat awal saya sudah beritahu ini merupakan satu kes yang sensitif dan ia telah disensasikan. Ia juga telah dijadikan kes politik.

“Selepas itu ada pihak yang salah gunakan kes ini seolah-olah ia menjadi satu kepentingan bagi satu agama untuk melawan satu lagi agama, ini tidak baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sementara itu, mengulas berhubung tindakan seorang wanita yang mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan terhadap agama Kristian ekoran isu penggunaan kalimah Allah, beliau memberitahu wanita itu telah dipanggil untuk memberi keterangan.

“Kata yang begitu pedih yang diluahkan dalam video tersebut menusuk hati satu pihak yang lain, itu saya katakan bawa bertenang, biarkan proses keadilan berjalan, berikan keyakinan kepada mahkamah, kerajaan sudah buat rayuan dan kita lihat apa hasilnya.

“Perbuatan wanita ini telah menarik banyak kritikan dan laporan dibuat, polis telah buka kertas siasatan dan dia telah dipanggil untuk dirakam kenyataan dan dinilai Pejabat Peguam Negara sama ada akan didakwa atau tidak,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menasihati masyarakat agar bersabar kerana mana-mana pihak yang mempunyai idea pelampau hanya akan membawa kehancuran, paling utama kepada diri mereka sendiri.

“Sabar, semua pihak ada pendapat dan semua ingat mereka betul, jika begitu siapa yang hendak menjadi hakim.

“Jadi biarkan mahkamah tentukan, dan bila dibuat keputusan, kita terima. Jika masih tidak berpuas hati ia boleh didebat di Parlimen, boleh buat undang-undang baharu,” ujarnya.

Terdahulu, Polis Sarawak memaklumkan telah menerima sebanyak 37 laporan berhubung tindakan wanita yang mengeluarkan kata-kata penghinaan kepada agama Kristian dalam satu video yang kini tular di media sosial.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya