MELAKA: Kad laporan prestasi setahun pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini akan dibentangkan pada awal April ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, ia akan memperincikan segala pencapaian yang telah diperoleh oleh jentera pentadbiran kerajaan negeri selepas mengambil alih pentadbiran daripada Pakatan Harapan (PH) pada Mac 2020.
“Diam tak diam esok, genaplah satu tahun saya memimpin negeri bertuah, Melaka bumi bersejarah. Sepanjang tempoh itu, kita bersama melalui pelbagai cabaran, seperti cabaran kesihatan, politik dan ekonomi.
“Setakat 365 hari ini, Alhamdulillah kita dapat tadbir dan pimpin negeri ini dengan baik lagi jayanya.
“Kad laporan prestasi pencapaian sepanjang setahun, akan kita bentangkan tidak lama lagi, sekitar awal bulan depan insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) di Malacca International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan PSMJ 2035, Sulaiman berkata, sebanyak lapan flagship atau projek berskala besar akan menjadi agenda utama dalam merealisasikannya.
Jelasnya, antara yang telah digariskan termasuklah zon pembangunan ekonomi, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ), pengurusan air mampan, pembangunan bersasar dan digital Melaka.
“Saya percaya, dengan tertubuhnya koridor baharu pelaburan berimpak tinggi M-WEZ ini bakal menjadi game changer bagi mengembalikan semula kegemilangan negeri untuk kembali digelar sebagai Venice of the East,” jelasnya.-UTUSAN ONILINE