MUAR: Seorang penunggang motosikal yang aksinya dirakam kerana bertindak agresif memecahkan cermin sebuah kenderaan seorang wanita di Pekan Parit Jawa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Ahmad ‘Azim Sa’ri, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zuraidah Abu Bakar.
Mengikut pertuduhan, Ahmad ‘Azim yang juga seorang juruteknik didakwa melakukan perbuatan khianat terhadap seorang pemandu wanita berusia 26 tahun hingga menyebabkan kerugian melebihi RM25.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Persimpangan Lampu Isyarat Parit Jawa pada pukul 3.25 petang, 15 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang juga pesakit mental didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara selama tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda, atau kedua-duannya sekali.
Terdahulu, dalam prosiding secara tertutup, peguam bela, Sakinah Suhaimi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon agar anak guamnya dibawa ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan terlebih dahulu.
Mahkamah menetapkan 29 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu tertuduh selesai menjalani rawatan di hospital berkenaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Putera Amirool Faez Suhasi.
Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 38 saat yang menunjukkan lelaki itu bertindak agresif apabila memecahkan cermin kenderaan seorang wanita selepas berlaku selisih faham antara kedua-dua mereka.
Tertuduh yang berada di bahu jalan dilihat memarahi pemandu wanita di dalam kereta sebelum menghentak bonet hadapan dan cermin mangsa menggunakan topi keledar.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kejadian mengakibatkan kenderaan mangsa rosak cermin sisi di bahagian kanan, cermin hadapan serta bonet hadapan. – UTUSAN ONLINE