Jumlah penganggur meningkat 782,500 orang - Utusan Malaysia

Jumlah penganggur meningkat 782,500 orang

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kadar pengangguran di negara ini bertambah 9,700 pada Januari lalu sekali gus merekodkan jumlah keseluruhan seramai 782,500 orang berbanding 772,900 penganggur pada Disember tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan berterusan penganggur itu sebahagiannya susulan daripada penelitian semula strategi perniagaan dalam industri berkaitan pelancongan yang terdiri daripada penginapan dan perkhidmatan makanan, pengangkutan penumpang, hiburan dan aktiviti rekreasi.

Bagaimanapun, menurut beliau, pertambahan penduduk bekerja adalah lebih tinggi berbanding peningkatan bilangan yang menganggur berdasarkan kenaikan permintaan buruh oleh perniagaan.

“Tenaga buruh pada Januari naik 0.2 peratus dengan tambahan sebanyak 31,500 orang merekodkan 16.02 juta orang (Disember 2020: 15.99 juta orang).

“Pada bulan tersebut, penyertaan tenaga buruh meningkat pada kadar 68.5 peratus (Disember 2020: 68.4 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Uzir berkata, memasuki tahun ini, pasaran buruh terus berdepan dengan situasi mencabar berikutan peningkatan bilangan kes baharu Covid-19, di samping pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 13 Januari di kebanyakan negeri dan dilanjutkan sehingga 4 Februari lalu.

Katanya, pada fasa ini, hanya lima sektor ekonomi penting dibenarkan beroperasi, manakala aktiviti perjalanan rentas negeri dan daerah dihadkan sekali gus secara tidak langsung memberi kesan terhadap momentum pemulihan perniagaan dan seterusnya pasaran buruh.

“Ketika PKP 2.0, hanya sektor ekonomi penting dibenarkan beroperasi iaitu sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan edaran serta perladangan dan komoditi.

“Sementara itu, sebanyak 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat manakala bagi kakitangan kumpulan sokongan adalah tertakluk kepada keperluan dan keadaan ini menyebabkan bilangan penduduk bekerja terus meningkat dengan pertambahan sejumlah 21,900 kepada 15.24 juta orang pada Januari lalu,” katanya.

Justeru, kata beliau, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat kepada 65.2 peratus (Disember 2020: 65.1 peratus).

Mengulas lanjut mengenai taraf pekerjaan, beliau berkata, kategori pekerja yang merangkumi 77.7 peratus daripada penduduk bekerja, meningkat 0.3 peratus ( tambahan 40,800 orang kepada 11.85 juta orang (Disember 2020: 11.81 juta orang).

Sementara itu, katanya, kategori bekerja sendiri yang meliputi 15.7 peratus terus menurun bagi empat bulan berturut-turut kepada 2.39 juta orang pada Januari 2021 (Disember 2020: 2.40 juta orang).

“Kumpulan ini sebahagian besarnya terdiri daripada mereka yang berpendapatan harian yang bekerja sebagai pengusaha perniagaan kecil seperti peruncit, penjaja, penjual di pasar dan gerai serta pekebun kecil.

“Sementara itu, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu terus meningkat pada Januari kepada 158,900 orang berbanding bulan sebelumnya (Disember 2020: 146,200 orang),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya