Jumlah pekerja asing disaring positif Covid-19 turun - Utusan Malaysia

Jumlah pekerja asing disaring positif Covid-19 turun

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pekerja warga asing didapati positif wabak Covid-19 setelah melalui saringan wajib di seluruh negara semalam jatuh semula selepas naik sehari sebelumnya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia merekodkan 35 individu disahkan positif semalam berbanding 71 individu kelmarin.

“Pihak kementerian itu memaklumkan, sejumlah 3,567 pekerja warga asing sudah menjalani saringan tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Secara kumulatif, ujarnya lagi, sejak awal Disember lalu, seramai 627,010 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 32,425 majikan.

Daripada jumlah tersebut, cuma 9,807 pekerja warga asing disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya pula iaitu seramai 617,203 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,529 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari lepas, saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tersebut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelum itu.

Keperluan ujian ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Proses saringan tersebut hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut memeriksa sejumlah 25 tapak binaan beroperasi di seluruh negara semalam.

“Semua mematuhi peraturan kecuali satu tidak beroperasi dan sejak 20 April tahun lalu, 9,171 tapak binaan di negara ini diperiksa bagi kekang penularan dalam kalangan pekerja,” kata beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN