Jumlah pekerja asing disaring positif Covid-19 turun - Utusan Malaysia

Jumlah pekerja asing disaring positif Covid-19 turun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pekerja warga asing yang didapati positif wabak Covid-19 setelah melalui proses saringan wajib di seluruh negara semalam mencatatkan penurunan drastik.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia merekodkan 30 orang berbanding 114 orang kelmarin dan 88 orang Selasa lalu.

“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 4,496 pekerja warga asing sudah menjalani saringan tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 608,093 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu melibatkan penyertaan sejumlah 31,682 majikan.

Daripada jumlah tersebut ujarnya, hanya 9,653 pekerja warga asing disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya pula iaitu seramai 598,440 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,520 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari lepas, saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tersebut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelum itu.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Keperluan ujian ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut memeriksa sejumlah 28 tapak binaan beroperasi di seluruh negara semalam.

“Hanya satu diarahkan untuk ditutup dan sejak 20 April tahun lalu, 9,133 tapak binaan di negara ini diperiksa bagi kekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya