Jumlah pekerja asing disaring positif Covid-19 naik  - Utusan Malaysia

Jumlah pekerja asing disaring positif Covid-19 naik 

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pekerja warga asing yang didapati positif wabak Covid-19 setelah melalui proses saringan wajib di seluruh negara semalam naik semula dengan mendadak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia merekodkan 71 individu disahkan positif semalam berbanding dua sahaja kelmarin.

“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 4,957 pekerja warga asing sudah menjalani saringan tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak awal Disember lalu, seramai 623,443 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 32,218 majikan.

Daripada jumlah tersebut ujarnya, cuma 9,772 pekerja warga asing disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya pula iaitu seramai 613,671 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,525 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari lepas, saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tersebut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelum itu.

Keperluan ujian ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut memeriksa sejumlah 23 tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara semalam.

“Kesemuanya mematuhi peraturan dan sejak 20 April tahun lalu, 9,154 tapak binaan di negara ini diperiksa bagi kekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerjanya,” kata beliau lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN