Jumlah pekerja asing disaring positif Covid-19 meningkat - Utusan Malaysia

Jumlah pekerja asing disaring positif Covid-19 meningkat

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pekerja asing yang positif Covid-19 setelah melalui saringan wajib di seluruh negara mencatatkan kenaikan mendadak selepas turun sehari sebelumnya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia mengesahkan 68 orang positif semalam berbanding cuma sembilan pada kelmarin.

“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 7,516 pekerja warga asing sudah menjalani saringan tersebut di seluruh negara semalam (kelmarin),” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Jelasnya, secara kumulatif, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 575,295 individu selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 30,112 majikan.

Daripada jumlah tersebut jelasnya, hanya 9,138 pekerja warga asing disahkan positif wabak maut berkenaan manakala selebihnya iaitu seramai 566,157 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,508 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari lepas, saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tersebut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelum itu.

Keperluan ujian itu diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau Kementerian Sumber Manusia.

Majikan turut diberi amaran kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Proses saringan tersebut hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai Perkeso.

Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut membuat pemeriksaan 32 tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara semalam.

“Dua tidak beroperasi dan selebihnya mematuhi peraturan. Sejak 20 April lalu, 9,038 tapak binaan di negara ini diperiksa bagi kekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya