Jumlah pekerja asing disaring positif Covid-19 hanya 8 orang - Utusan Malaysia

Jumlah pekerja asing disaring positif Covid-19 hanya 8 orang

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pekerja warga asing yang didapati positif wabak Covid-19 setelah melalui proses saringan wajib di seluruh negara semalam mencatatkan penurunan terbesar.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia merekodkan hanya lapan individu disahkan sebagai positif wabak maut itu semalam.

Ia sekali gus angka kedua paling rendah yang dilaporkan selepas pernah catat cuma dua kes pada 12 Februari lalu sejak program wajib itu dilaksanakan pada 1 Disember tahun lepas.

“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 2,909 pekerja warga asing sudah menjalani saringan tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak awal Disember lalu, seramai 615,980 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 31,921 majikan.

Daripada jumlah tersebut ujarnya, hanya 9,699 pekerja warga asing disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya pula iaitu seramai 606,281 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,520 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari lepas, saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tersebut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelum itu.

Keperluan ujian ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut akan dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut memeriksa sejumlah 14 tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara semalam.

“Kesemuanya mematuhi peraturan dan sejak 20 April tahun lalu, 9,141 tapak binaan di negara ini diperiksa bagi kekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerjanya,” kata beliau lagi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya