Jumlah koperasi golongan wanita masih rendah - Utusan Malaysia

Jumlah koperasi golongan wanita masih rendah

MAS Ermieyati Samsudin (dua kanan) menyerahkan replika cek Bantuan Kecemasan Koperasi Covid-19 kepada wakil Gerakan Koperasi Negeri Kedah, Mahayudin Ahmad (kiri) selepas melancarkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Gerakan Koperasi Kedah 2021 di Kubang Pasu hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sebanyak 248 koperasi atau 1.8 peratus daripada keseluruhan 14,668 koperasi yang berdaftar di negara ini adalah koperasi wanita dengan dimiliki 100 peratus golongan itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, peratusan jumlah koperasi wanita itu terlalu rendah dengan komposisi anggota bagi koperasi tersebut cuma seramai 18,750 orang atau 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 6.1 juta anggota koperasi di seluruh negara.

Katanya, tiga negeri yang memiliki koperasi wanita tertinggi adalah Perak sebanyak 30 koperasi, Johor (29), dan Selangor (26) serta Kedah (17).

“Daripada angka itu, jumlah koperasi wanita di negara ini masih terlalu rendah manakala sumbangan koperasi wanita hanya RM5.6 juta atau 0.03 daripada keseluruhan perolehan koperasi berjumlah RM21.2 bilion di negara ini.

“Kita mahu mengubah perkara ini dengan memperkasakan koperasi wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Gerakan Koperasi Kedah 2021 di Pejabat Koperasi Serbaguna Kaum Ibu Kubang Pasu Bhd. di Kampung Lubuk Batu dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad; Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kedah, Norzila Nanyan serta Pengerusi Koperasi Kaum Ibu Kubang Pasu Bhd., Hasinam Isa.

Pada majlis itu, Mas Ermieyati turut menyempurnakan penyampaian beberapa sumbangan daripada Gerakan Koperasi Negeri Kedah dan SKM kepada koperasi serta pihak yang terjejas dengan penularan Covid-19 melibatkan jumlah keseluruhan RM283,500.

Mas Ermieyati berkata, pihaknya merasakan kekurangan kesedaran dalam kalangan wanita termasuk kurangnya pendekatan diambil pihak terlibat menjadi antara faktor ramai dalam kalangan wanita yang tidak berani tampil mengurus tadbir koperasi milik wanita sepenuhnya.

“Kebanyakan daripada koperasi wanita di negara ini terlibat dalam aktiviti perniagaan berkaitan perkhidmatan iaitu 42 peratus diikuti kepenggunaan, 31 peratus.

“Kita mengharapkan pada masa akan datang, jumlah koperasi wanita dapat ditingkatkan sebanyak 20 peratus dalam tempoh lima tahun. Koperasi-koperasi sedia ada pula dapat dipastikan berkembang daripada mikro menjadi sederhana agar lebih ramai wanita menerima manfaatnya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya