Jumlah ditahan ingkar SOP turun  - Utusan Malaysia

Jumlah ditahan ingkar SOP turun 

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam mula turun setelah naik dua hari berturut-turut.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 269 individu dicekup semalam berbanding 517 individu diberkas kelmarin dan 442 individu ditahan pada Sabtu lalu.

“Daripada jumlah itu, 251 dikompaun manakala baki 18 lagi direman dengan kes tertinggi ialah gagal sedia alat rekod butiran diri sebanyak 85 individu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ini diikuti kes tidak patuh jarak fizikal (66), tiada memakai pelitup muka (65), rentas kawasan tanpa kebenaran (24), aktiviti pusat hiburan (14) dan pelbagai lagi kesalahan yang lain (15).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 63,566 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,529 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, seramai 15,655 anggota itu memantau sebanyak 5,763 restoran, 4,434 pasar raya, 2,436 bank, 3,940 penjaja, 2,366 kilang selain 1,096 buah pejabat kerajaan.

Turut dipantau pasukan berkenaan ialah 16,456 tempat riadah, 335 buah rumah ibadah selain sejumlah terminal pengangkutan darat, air dan udara di negara ini.

Seramai 29 pendatang asing tanpa izin juga ditahan semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan negara dan membendung penularan wabak Covid-19.

“Empat kenderaan darat dirampas selain sejumlah 79 buah bot atau kapal yang dicurigai juga dikesan berdekatan perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 263 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 48 dilaksanakan polis.

Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 72 operasi sanitasi awam juga dilakukan di negara ini semalam meliputi 22 zon merah, enam zon jingga, sembilan zon kuning dan tiga zon hijau.

Kata beliau, ia melibatkan penugasan seramai 279 anggota bomba selain 200 anggota pihak berkuasa tempatan dan turut dibantu dengan penggunaan 64 buah jentera bomba.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 586 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 7,391 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 79 buah hotel serta 11 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 967 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 132,568 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 458 peruncit, 168 pemborong dan 26 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 2,108 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan tiga premis diberikan nasihat manakala baki tiga lagi dikenakan kompaun.

 

TAMAT

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN