Jumlah bakal jemaah haji divaksin bergantung kuota - Utusan Malaysia

Jumlah bakal jemaah haji divaksin bergantung kuota

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan bakal jemaah haji yang akan menerima vaksin Covid-19 bergantung kepada jumlah kuota rasmi bagi negara ini setelah dimuktamadkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pada ketika ini masih awal untuk diberikan jawapan berhubung isu vaksinasi tersebut.

“Perkara seperti ini agak terlalu awal dan akan saya bincang satu persatu dengan kerajaan Arab Saudi serta menantikan keputusan rundingan daripada pihak negara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Kit Rakan Masjid Hospital (Ramah) dan Penyampaian Kerusi Roda Pesakit Hospital di Kompleks Islam, di sini hari ini.

Semalam, beliau dilaporkan menyambut baik keputusan kerajaan Arab Saudi mewajibkan bakal jemaah disuntik vaksin Covid-19 untuk musim haji kali ini yang akan bermula 19 Julai ini.

Sebelum ini, umat Islam dari seluruh dunia yang mahu menunaikan ibadah fardu itu dan umrah diwajibkan mengambil suntikan Meningococcal Quadrivalent, Meningitis dan Influenza.

Pada 15 Februari lalu, beliau berkata, kuota bakal jemaah akan dimuktamadkan Arab Saudi setelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau melawat negara itu bulan ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, setakat ini beliau sendiri belum lagi mendapat kenyataan rasmi terus daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Mohammad Saleh Tahir Benten.

“Saya sedia terima apa sahaja keputusan dan sehingga kini tiada apa-apa lagi, bukan sahaja Malaysia, malah negara dari seluruh dunia belum tahu kuota jemaah haji mereka,” jelasnya.

Beliau namun yakin dengan kebijaksanaan Penjaga Dua Tanah Suci, Raja Salman Abdulaziz kerana negara itu juga mahu memastikan situasi wabak Covid-19 kembali reda dan selamat.

Awal tahun lalu, Malaysia menerima tambahan kuota rasmi sehingga 31,600 bakal jemaah namun tidak dapat dihantar ekoran penutupan sempadan Arab Saudi pada musim haji lalu.

Ditanya apakah beliau akan memohon diberi keutamaan kepada bakal jemaah haji menerima vaksin, Zulkifli berkata, perkara itu akan dimasukkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Secara dasar, beliau tiada masalah sedia berunding dengan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi membolehkan mereka itu dapat didahulukan

Di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari lalu, Fasa 2 melibatkan warga emas dan golongan rentan bermula bulan depan sehingga Ogos ini.

Sekiranya mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN), kumpulan pertama bakal jemaah akan berlepas pada 12 Jun ini sehingga penerbangan terakhir sebelum wukuf 19 Julai depan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya