Juara OIAM dan pemenang ketiga GV masuk program realiti pertanian -

Juara OIAM dan pemenang ketiga GV masuk program realiti pertanian

CHE Abdullah Mat Nawi (dua kanan) menyampaikan sijil dan saguhati kepada peserta Realiti TV Juara Agrotek, Norayu Damit (dua kiri) pada Majlis Penutup Rancangan Realiti TV Juara Agrotek di perkarangan kementeriannya di sini, hari ini. -UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas cemerlang meraih tempat ketiga dalam Gegar Vaganza (GV) musim 7 berakhir pada 13 Disember lalu, Ayu Damit beralih menyertai program realiti pertanian pula.

Juara pertandingan One in a Million (OIAM) 2008 itu antara 12 peserta terpilih dalam program realiti televisyen terbaharu, Juara Agrotek yang akan disiarkan TV1 RTM mulai Julai depan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penutup rancangan itu di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di sini, beliau berkata, minat bertani sudah pun lama ada dalam dirinya.

“Pada mulanya, saya sekadar bertanya sama ada masih ada tempat lagi dan secara kebetulan memang ada satu kekosongan untuk ganti pula seorang peserta yang tarik diri,” katanya.

Program musim sulung sebanyak 13 episod terbitan PTV Media Sdn. Bhd. itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, penyanyi berasal dari Putatan, Sabah itu berkata, beliau memang memiliki sebidang tanah kebun pelbagai sayur-sayuran di Batu 11, Hulu Langat, Selangor.

“Asalnya, suami saya yang suka berkebun dan saya pula lebih kepada pemasaran, sebelum tercetus idea untuk terus serius apabila melihat potensi santan daripada kelapa,” katanya.

Beliau ketika ini turut mengusahakan tanaman fertigasi cili, timun, kacang panjang dan tembikai susu, berharap, sayur-sayuran tersebut mampu dikomersialkan lagi dalam skala lebih besar.

Pelantun suara album Inspirasi di bawal label Monkey Bone Records itu turut mengharapkan penyertaannya dalam Juara Agrotek menarik minat anak muda menceburi sektor pertanian.

Malah, Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit, 31, tidak malu mengakui dirinya petani di sebalik aktif mengikut jejak langkah keluarganya di Sabah sebagai peniaga kuih baulu tradisi.

“Saya sanggup keluar duit sendiri untuk bertani dan apabila sudah berjaya, baru saya berani untuk mohon pelbagai dana daripada pihak kerajaan kerana sudah pun ada rekod,” katanya. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN