Juara Agrotek tarik minat muda ceburi pertanian - Utusan Malaysia

Juara Agrotek tarik minat muda ceburi pertanian

CHE Abdullah Mat Nawi (dua kanan) menyampaikan sijil dan saguhati kepada peserta Realiti TV Juara Agrotek, Noor Amira Sazali (dua kiri) pada Majlis Penutup Rancangan Realiti TV Juara Agrotek di lobi kementeriannya di sini, hari ini. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyasarkan program realiti televisyen Juara Agrotek bakal menarik minat generasi muda untuk menceburi kerjaya pertanian.

Timbalan menterinya, Datuk Abdullah Mat Nawi berkata, program 13 episod yang bakal disiar di TV1 RTM pada Julai depan, dijangka menukar tanggapan masyarakat terhadap sektor itu.

“Program seperti ini juga diharap dapat ubah persepsi bidang ini bukan lagi bersifat 3D: Dirty, Difficult dan Dangerous, tetapi menjadi cabang kerjaya yang jamin pulangan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Rancangan Realiti TV Juara Agrotek serta penyampaian sijil dan saguhati untuk 12 peserta di sini hari ini.

Program musim pertama ini diterbitkan PTV Media Sdn. Bhd. yang berkonsepkan hiburan berilmu dengan kerjasama kementerian itu menerusi pelbagai agensi dan Unit Agropreneur Muda.

Juga hadir ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid serta Pengarah dan Penerbit Eksekutif PTV Media Sdn. Bhd., Lili Salhani Ismail selain penaja program.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, program itu agak jauh beza daripada rancangan popular mingguan, Agrotek ke udara di stesen sama terbitan Unit Majalah dan Dokumentari TV RTM.

“Namanya hampir sama tapi konsepnya berlainan, dengan kedua-duanya itu dapat kerjasama daripada kementerian ini yang memaparkan kisah kejayaan usahawan pertanian,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, Juara Agrotek pula seumpama pertandingan dengan setiap episod, para peserta akan diberi tiga tugasan berbeza yang kemudian hasilnya dinilai juri profesional.

Uniknya kata beliau, lebih 200 permohonan telah diterima dari seluruh negara untuk menyertai program ini sebelum ditapis ketat dan dilancarkan RTM di ibu negara pada 6 Januari lalu.

Melalui program ini, peserta melakukan pelbagai tugasan mencabar antaranya menternak ayam organik, lembu tenusu dan kambing selain bertanam ubi kayu, cili, jagung dan lain-lain.

Kesemua kaedah itu jelas Abdullah, menggunakan teknologi pertanian terkini dan ilmu yang diperoleh bukan sahaja memberi manfaat besar kepada mereka tetapi juga kepada penonton.

“Saya ucap tahniah kepada PTV Media Sdn. Bhd. atas usaha kreatif menarik minat anak muda seiring hasrat kementerian untuk bawa industri pertanian di mata masyarakat,” katanya.

Menyentuh Program Agropreneur Muda, beliau berkata, sejak dilancarkan pada 2016 hingga 24 Disember lalu, seramai 6,969 peserta telah menerima bantuan berjumlah RM126.23 juta.

Ia tambah beliau, meliputi pemberian skim geran sebanyak RM121.97 juta terhadap 6,908 peserta dan juga pembiayaan program yang bernilai RM4.26 juta melibatkan cuma 61 peserta.

Sepanjang tahun ini pula, kementerian itu ujarnya merancang geran sebanyak RM15 juta dengan sasaran seramai 750 usahawan muda baharu berusia dari 18 tahun hingga 40 tahun.

Malah katanya, bantuan modal disediakan melalui pakej pembiayaan khas Tekun Nasional sehingga RM50,000 dan lagi dari Agrobank sehingga RM200,000 bagi projek pengembangan.

“Skop program kali ini menyediakan geran berbentuk barangan sehingga RM20,000 bagi projek baharu selain ada kursus jangka pendek dan khidmat nasihat teknikal,” kata Abdullah.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya