KLANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan sebanyak 14,142 notis sejak Januari lalu hingga semalam.
Pengarahnya, Nazli Md. Taib berkata, daripada jumlah tersebut, notis saman tertinggi yang dikeluarkan adalah larangan penggunaan kenderaan iaitu sebanyak 4,291 diikuti arah periksa kenderaan 4,049.
Katanya, notis larangan penggunaan kenderaan banyak dikeluarkan terhadap kenderaan barangan yang mempunyai masalah teknikal.
“Antara masalah teknikal adalah tayar botak, lampu belakang tidak menyala dan brek tidak berfungsi. Mereka ini diarahkan membetulkan masalah teknikal dan datang ke JPJ untuk menjalani pemeriksaan.
“Selain itu, sebanyak 2,334 notis saman telah dikeluarkan, diikuti notis panggilan temu siasat (1,593); notis kemukakan butir-butir pemandu (1,067); notis arah timbang (793) dan notis penahanan kenderaan (15),” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, baru-baru ini.
Terdahulu, beliau hadir ke sidang akhbar Op Halangan membabitkan kenderaan perdagangan, treler dan lori di Plaza Tol Bukit Raja di sini hari yang berlangsung selama lebih tiga jam bermula pukul 8 pagi.
Dalam operasi dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), pihaknya mengeluarkan sebanyak 196 notis saman atas pelbagai kesalahan terhadap 112 kenderaan.
Menerusi operasi tersebut juga, pihaknya menyita sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 50-an yang diubah suai kerangka badannya dengan melakukan pateri untuk menambah kontena barangan elektrik yang dibawanya.
Mengulas lanjut mengenai operasi tersebut, Nazli berkata, kebanyakan pemandu kenderaan perdagangan terutama treler dan lori menggunakan tayar celup yang telah botak, meletakkan kayu dan besi di bahagian casis sehingga jatuh di lebuh raya.
Jelasnya, tindakan mereka itu sebenarnya membahayakan dan menjadi antara penyumbang utama kemalangan jalan raya di negeri ini.
Katanya, statistik daripada Polis Kontinjen Selangor menunjukkan sebanyak 18,850 kemalangan di lebuh raya dilaporkan dengan melibatkan 199 kes kemalangan maut manakala kematian sebanyak 211 sepanjang tahun lalu.
“Berdasarkan maklumat PLUS, sebanyak 19,218 bahan dikutip sepanjang lebuh raya di bawah kendalian pihak tersebut dengan 8,149 daripadanya direkodkan di Zon Tengah.
“Statistik ini membimbangkan kerana ramai pemandu treler dan lori mengambil mudah dengan meletakkan kayu dan besi di bahagian tidak sepatutnya walaupun memberikan alasan mengikatnya dengan kemas dan digunakan bagi menyendal barangan dibawa mereka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE