JPJ Perlis keluarkan 700 notis pelbagai kesalahan - Utusan Malaysia

JPJ Perlis keluarkan 700 notis pelbagai kesalahan

FATIMAH (kiri) menunjukkan batu yang dibawa oleh sebuah lori yang membawa muatan lebih dari had dibenarkan dalam Op Covid-19 di berhampiran Tapak Projek Kompleks Halal Park, Titi Tinggi, Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Memandu tanpa lesen antara kesalahan paling banyak direkodkan sepanjang Op Covid-19 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri secara koordinasi dan kolaboratif bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 16 Januari sehingga hari ini.

Dalam tempoh tersebut, JPJ negeri telah mengeluarkan sebanyak 700 notis bagi pelbagai kesalahan dengan antaranya memandu tanpa lesen direkodkan sebanyak 152 diikuti lesen kenderaan motor tamat tempoh (10), tiada insurans (75), kesalahan berkaitan lebih muatan atau muatan bahaya (40), kesalahan teknikal (155) dan lain-lain kesalahan, 169.

Pengarah JPJ negeri, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, pihaknya telah memeriksa sebanyak 9,592 buah kenderaan meliputi kenderaan peribadi, perkhidmatan awam dan perdagangan sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, daripada jumlah itu, notis saman bagi pelbagai kesalahan dikeluarkan sebanyak 522, notis panggilan temu siasat (55), notis larangan penggunaan kenderaan (17), notis arah periksa bagi kesalahan teknikal (101), dan arahan menimbang kenderaan sebanyak lima notis saman.

“Op Covid-19 ini memfokuskan penguatkuasaan ke atas kesalahan utama jalan raya sebagai penyumbang kemalangan.

“Selain itu, daripada soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia dan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan Seksyen 3  Akta Pencegahan dan Pengawalan  Penyakit Berjangkit,” katanya ketika ditemui semasa operasi berhampiran Tapak Projek Kompleks Halal Park, Titi Tinggi di sini hari ini.

Terdahulu, JPJ Perlis telah menahan sebanyak lima buah lori tipper yang membawa muatan melebihi daripada had dibenarkan.

Fatimah berkata, lori yang membawa batu karasan untuk di bawa ke Thailand tersebut telah ditimbang dan diambil tindakan dibawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awan Darat (APAD).

“Ada lori yang ditahan ini membawa muatan 52 peratus lebih daripada berat yang sepatutnya. Bagi kenderaan yang membawa muatan lebih 30 peratus daripada jumlah yang sepatutnya, mereka akan dihadapkan ke mahkamah.

“Tindakan membawa muatan melebihi muatan dibenarkan membahayakan pengguna jalan raya yang lain kerana batu-batu ini tidak dapat ditutup dengan baik dan boleh jatuh mengenai kenderaan serta pemandu lain,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya