PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempelawa warganegara Malaysia yang layak untuk memohon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) Tahun 2021.
Menerusi kenyataan akhbar dikeluarkan hari ini, JPA berkata, permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang permohonan secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my mulai jam 5.00 petang ini.
Menurutnya, borang permohonan yang lengkap berserta dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan hendaklah dikemukakan dan diterima oleh pihak JPA sebelum atau pada 9 April ini sama ada secara serahan tangan atau pos.
“BYDPA menawarkan sebanyak 12 biasiswa iaitu enam untuk pengajian di peringkat sarjana dan enam untuk pengajian di peringkat doktor falsafah di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.
“Bidang pengajian di bawah penajaan BYDPA ialah Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam,” katanya.
Katanya, antara syarat permohonan BYDPA adalah warganegara Malaysia; berusia tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2021 dan memiliki ijazah sarjana muda /sarjana yang diiktiraf oleh kerajaan dengan pencapaian akademik yang amat cemerlang iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya.
Syarat lain ditetapkan termasuk telah mendapat tawaran pengajian secara sepenuh masa atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran di institusi pengajian tinggi disenaraikan JPA mengikut bidang pengajian.
Selain itu, permohonan juga dibuka bagi pengajian bagi peringkat sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan atau disertasi atau tesis.
Menurut JPA lagi, calon yang memenuhi syarat permohonan serta melepasi saringan lanjut pihak JPA akan di senarai pendek untuk menghadiri temu duga.
“Keutamaan dalam pemilihan calon penerima BYDPA adalah dalam kalangan mereka yang aktif dalam kegiatan kokurikulum dan aktiviti kemasyarakatan; menghasilkan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya; dan mahir dalam lebih daripada satu bahasa antarabangsa.
Sebarang maklumat lanjut mengenai penawaran ini, sila layari portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03-8885 3879 / 3569 pada setiap hari bekerja mulai jam 9 pagi hingga 5 petang atau emel kepada [email protected].– UTUSAN ONLINE