ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri berhasrat untuk membeli sendiri vaksin Covid-19 sekiranya langkah itu dapat mempercepatkan suntikan imunisasi tersebut kepada seluruh penduduk di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, langkah itu penting dalam usaha membuka semula sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura.
Menurut beliau, pembukaan semula sempadan tersebut akan memberi impak positif kepada sosio-ekonomi negeri ini.
“Perkara ini (usaha mendapatkan vaksin Covid-19) telah dibincangkan dalam mesyuarat exco iaitu Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad ada menyebut pihaknya komited untuk menyegerakan pembukaan semula sempadan.
“Namun jika kita terpaksa menunggu lama untuk rakyat Johor dapat menerima vaksin, antara yang dicadangkan adalah kerajaan negeri mendapatkan vaksin berkenaan atas kapasiti sendiri.
“Perkara ini penting kerana antara syarat pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura adalah rakyat negeri ini perlulah menerima vaksin Covid-19,” katanya yang turut memberitahu perkara itu masih di peringkat awal perbincangan.
Beliau berkata demikian ketika hadir melancarkan Wisma OSB Global Resources Sdn. Bhd. yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif OSB, Muhammad Dinie Mohamed di Kawasan Perindustrian Nusabayu, hari ini.
Tambah Mohd. Izhar, pihaknya bagaimanapun menyedari untuk melaksanakan inisiatif itu terhadap keseluruhan lebih tiga juta rakyat negeri ini akan melibatkan kos yang besar.
“Sehubungan itu, saya juga menyeru seluruh rakyat Johor agar segera mendaftarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, kerana ketika ini jumlah yang telah mendaftar masih kecil.
“Setakat ini, dianggarkan antara 20 hingga 30 peratus sahaja rakyat Johor yang telah mendaftar daripada lebih tiga juta, jumlah ini masih terlalu rendah daripada anggaran kita.
“Nasihat saya, jangan tunggu hingga ke saat akhir baharu hendak mendaftar kerana inisiatif ini akan melibatkan semua individu di Johor bagi membolehkan kehidupan kembali seperti sedia kala,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan turut melancarkan kempen bagi membantu golongan yang tidak mempunyai akses kepada pendaftaran secara atas talian termasuk melalui pejabat Dewan Undangan Negeri bagi membuka kaunter pendaftaran secara manual di kawasan masing-masing. – UTUSAN ONLINE