Johor mungkin perlu import lebih produk sayur jika cuaca panas berpanjangan - Utusan Malaysia

Johor mungkin perlu import lebih produk sayur jika cuaca panas berpanjangan

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr. Chong Fat Full (kiri) menyampaik cek kepada NGO di dalam Majlis penyampaian Cek Peruntukan Covid-19, kepada 26 Perrubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Dataran Muafakat Ulu Tiram, Johor Bahru di sini hari ini. -UTUSAN/ Baazlan Ibrahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor mungkin perlu mengimport lebih banyak produk sayur-sayuran dari negara luar sekiranya cuaca panas ketika ini berpanjangan sehingga menjejaskan pengeluaran tempatan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, bagaimanapun, ketika ini, bekalan berkenaan masih mencukupi.

Jelasnya, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan bekalan produk itu stabil di seluruh negeri.

“Bekalan sekarang belum lagi sampai ke tahap di mana pengeluaran tidak cukup untuk menampung permintaan yang tinggi.

“Kalau tidak, mungkin kita akan menghadapi masalah pengeluaran makanan termasuk sayur-sayuran,” katanya ketika menjawab pertanyaan sama ada cuaca panas menjejaskan pengeluaran dan bekalan sayur-sayuran di negeri ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis itu ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Peruntukan Covid-19 kepada 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dataran Muafakat Ulu Tiram, di sini hari ini.

Fat Full turut menambah, jika berlaku kekurangan bekalan, kerajaan negeri mungkin perlu mengimport produk sayuran dari beberapa negara termasuk India, China dan Thailand.

“Tetapi selagi pengeluaran domestik masih boleh membekalkan sayur-sayuran, sudah tentulah kita akan mengutamakan yang di sini dahulu,” ujarnya.

Sementara itu, berhubung program berkenaan, Fat Full memaklumkan pemberian peruntukan itu adalah bukti kerajaan negeri prihatin terhadap nasib rakyat yang terjejas sumber ekonomi akibat pandemik Covid-19. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN