KOTA BHARU: Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) disifatkan ‘banyak bermain politik’ apabila membangkitkan isu pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya hairan apabila timbul dakwaan kononnya masyarakat Orang Asli di kawasan itu tidak bersetuju projek tersebut diteruskan.
Ini kerana kata beliau, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Tanah dan Jajahan serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah turun padang bertemu komuniti itu bagi mendapatkan persetujuan mereka.
“Semua perkara yang dibangkitkan telah diselesaikan bersama, termasuk perancangan penempatan semula penduduk Orang Asli dan mereka bersetuju untuk berpindah.
“Saya hairan bila timbul isu ini tetapi bila dapat maklumat ia adalah usaha yang dibuat JKOAK, maka tidak pelik kerana JKOAK ini banyak bermain politik,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Kelmarin, JKOAK mendakwa lebih 3,000 masyarakat Orang Asli membantah rancangan pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri oleh kerajaan dan TNB yang dijangka bermula Mac tahun depan.
Pengerusi JKOAK, Mustafa Along berkata, projek itu bakal memusnahkan tapak warisan sejarah seperti Gua Cha selain menjejaskan sumber air, hasil tanaman dan perkuburan nenek moyang Orang Asli.
Mohd. Amar berkata, pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri memberi manfaat kepada rakyat seperti mengurangkan kadar caj perkhidmatan elektrik selain mengelak bencana banjir.