Jika UMNO kuat di Pagoh, pasti menang PRU-14 - Utusan Malaysia

Jika UMNO kuat di Pagoh, pasti menang PRU-14

SAHRUDDIN JAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mempersoalkan kekuatan UMNO Pagoh yang didakwa masih utuh dengan sokongan pengundi di Parlimen berkenaan.

Setiausaha Bersatu negeri, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, sekiranya kenyataan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohamad itu adalah tepat, parti keramat itu pasti akan kekal memimpin kawasan berkenaan.

“Saya ingin sentuh sedikit kenyataan Menteri Besar Johor yang menyatakan Bersatu Pagoh lemah, jadi, saya nak tanya kepada beliau di mana kekuatan UMNO Pagoh. Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah buktikan UMNO Pagoh hilang ketiga-tiga kerusi, hatta dengan Pas pun kalah di Bukit Pasir.

“Malah, kerajaan yang dibentuk pada hari ini pun adalah hasil muafakat dan pengorbanan kami ahli-ahli dewan undangan negeri (ADUN) Bersatu. Hanya 29 berbanding 27 iaitu perbezaan dua kerusi sahaja, beliau jadi Menteri Besar pun atas ihsan kami.

“Jika kami tidak setuju beliau sebagai Menteri Besar, di manakah beliau pada ketika ini. Jadi, tolong hargai pengorbanan kami,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di sini, hari ini.

Dr. Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar berkata, mereka sentiasa bersiap-sedia untuk sebarang pertembungan termasuk dengan UMNO sama ada dua penjuru atau lebih.

“Kami sentiasa siap sedia. Namun, sekarang yang paling penting adalah bagaimana kita dapat membantu rakyat. Jadilah kerajaan yang prihatin untuk membantu rakyat, janganlah berpolitik sepanjang waktu,” katanya.

Menurut Dr. Sahruddin, terdapat banyak isu dalaman yang tercetus di Johor ketika ini, namun, Menteri besar dilihat tidak dapat mengawal permasalahan membabitkan pucuk pimpinan.

“Menteri Besar tolong bercakap dan bertindak dengan bijaksana. Isu ketua kampung tak selesai lagi, Ahli Majlis tak selesai lagi, isu ketua kampung masyarakat Cina sampai sekarang pun tak selesai, jadi saya tanya kuat sangat ke UMNO itu?

“Beliau seharusnya sedar kerja untuk rakyat kerana nanti rakyatlah yang akan menilai kita, rakyatlah yang akan mengundi kita, kami Bersatu sentiasa bersiap-sedia untuk lawan dengan sesiapa pun,” katanya.

Tambah beliau, Bersatu Johor juga sehingga hari ini masih setia berada di dalam kerajaan negeri kerana menghormati keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya