SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) akan mempertimbangkan kerjasama dengan UMNO sekiranya parti keramat itu benar-benar ‘berubah’ sepenuhnya.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya tidak menafikan kemungkinan wujud kerjasama itu dan bersedia memperincikannya.
“Kita sanggup bekerjasama jika parti itu (UMNO) telah berubah dan insaf dengan tidak mahu mengamalkan politik rasuah, perkauman dan salah guna kuasa.
“Jika UMNO tidak berubah dan kita pula sanggup bekerjasama, ini bererti kita yang berubah dan keadaan itu tidak dapat diterima,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, setakat ini, Amanah belum melakukan sebarang perbincangan dengan mana-mana wakil daripada UMNO.
“Soal kerjasama dengan UMNO pernah menyebabkan perbalahan di dalam Pakatan Rakyat (PR) sehingga Pas berpecah dan tertubuhnya Amanah.
“Keadaan ini menunjukkan UMNO berpotensi mendatangkan kesan sama kepada Pakatan Harapan (PH) sekiranya tidak ditangani dengan baik,” katanya.