GEORGETOWN: Peniaga-peniaga ayam di sekitar Balik Pulau akan melancarkan gerakan memboikot ayam sejuk beku yang dibekalkan sebuah syarikat dilantik kerajaan negeri sekiranya Ketua Menteri, Chow Kon Yeow enggan berjumpa mereka.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Shah berkata, peniaga-peniaga ayam berkenaan telah membuat aduan kepada pihaknya berhubung tindakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang didakwa mahu menghapuskan kerja-kerja penyembelihan ayam di semua pasar basah.
Selain itu katanya, peniaga juga mendakwa perlu mengambil bekalan ayam yang dibekalkan sebuah syarikat dan perlu membeli peti sejuk beku untuk tujuan penyimpanan ayam di situ.
“Disebabkan itu, saya telah menghantar surat permohonan untuk bertemu dengan Ketua Menteri bagi berbincang mengenai isu ini.
“Surat ini telah dihantar dan saya masih menunggu maklum balas Ketua Menteri. Sekiranya tiada, kami akan menghantar lagi permohonan kepada beliau sebanyak tiga kali, hanya selepas itu baru kami akan lancarkan gerakan boikot,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Balik Pulau di sini hari ini.
Sebelum ini, Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang mendakwa bekalan ayam di bahagian pulau di negeri ini bakal dimonopoli sebuah syarikat berpangkalan di Singapura.
Bagaimanapun MBPP menjelaskan tiada paksaan bagi peniaga-peniaga ayam untuk mendapatkan bekalan ayam bersih daripada pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Batu Lancang seperti yang didakwa.
MBPP dalam kenyataan berkata, walaupun kemudahan pusat penyimpanan dan pengedaran ayam disediakan, peniaga-peniaga ayam diberi kebebasan memilih membeli ayam bersih daripada pusat itu atau pembekal pilihan sendiri yang mempunyai pensijilan Veterinary Health Mark (VHM).