SEREMBAN: Waktu operasi masjid atau surau di seluruh negeri ini sepanjang Ramadan dibenarkan bermula pada pukul 4 pagi sehingga pukul 12.00 tengah malam.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd. Zaidi Ramli berkata, menerusi prosedur operasi standard (SOP) aktiviti di masjid dan surau yang dikeluarkan, amalan seperti solat sunat tarawih, jamuan sahur, berbuka dan moreh serta aktiviti komuniti adalah dibenarkan dijalankan.
Menurutnya, bagi solat sunat tarawih, bilangan rakaat yang dibenarkan adalah lapan rakaat serta tiga witir atau 10 rakaat serta tiga witir atau 20 rakaat serta tiga witir.
“Digalakkan membaca ayat atau surah yang pendek dan tazkirah sebelum, selepas atau antara waktu solat tarawih adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau lagi, bagi aktiviti jamuan sahur, berbuka puasa dan moreh, tidak dibenarkan sebarang aktiviti memasak untuk jamuan di masjid atau surau untuk tujuan tersebut.
“Sumbangan atau infak makanan hendaklah disediakan secara bungkusan dan diedarkan oleh jawatan kuasa dengan mematuhi SOP.
“Bagi jamuan sahur dan iftar, hendaklah disediakan secara bungkusan, disusun atur lebih awal dan dibenarkan menjamu selera di tempat yang disediakan mengikut penjarakan fizikal manakala bagi moreh hendaklah disediakan dengan cara bungkusan dan diedarkan oleh jawatan kuasa,” katanya.
Menurut Mohd. Zaidi, amalan sunat seperti qiamullail, tadarus, iktikaf juga dibenarkan.
“Aktiviti qiamullail dibenarkan bermula pukul 4 pagi manakala aktiviti bertadarus berkumpulan dibenarkan mengikut SOP. Amalan iktikaf harian dibenarkan sehingga pukul 12 tengah malam namun amalan beriktikaf malam tidak dibenarkan.
“Program komuniti seperti penyampaian bantuan, sumbangan dan majlis berbuka puasa dibenarkan dengan mematuhi SOP,” katanya.
Tambahnya, kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas juga dibenarkan untuk ke masjid dan surau namun hendaklah di bawah pengawasan ibu bapa ataupun penjaga. – UTUSAN ONLINE