BESUT: Jeti Kuala Besut di sini adalah jeti pelancongan yang paling sesak di Terengganu setiap kali operasi pulau peranginan dibuka semula pada Mac saban tahun.
Namun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di beberapa negeri menyebabkan pemandangan lazim di jeti untuk ke Pulau Perhentian itu lengang dan sunyi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kemasukan pengunjung ke pulau peranginan terkenal di Terengganu itu kurang daripada 50 orang pada hari-hari biasa sejak kerajaan membenarkan aktiviti rentas daerah bermula 5 Mac lalu.
Pembantu laut di jeti berkenaan, Rusdi Che Ismail, 57, berkata, jumlah itu bagaimanapun meningkat hujung minggu yang mencecah 200 orang, namun masih sedikit berbanding kelaziman.
“Pada hari-hari biasa, cuma tiga hingga lima bot yang beroperasi membawa pelancong ke Pulau Perhentian dengan kapasiti 12 orang setiap bot tetapi tidak semestinya penuh.
“Pada hujung minggu barulah rasa jeti ini hidup dengan kira-kira 18 bot beroperasi dan saya harap suasana lebih meriah apabila cuti persekolahan hingga 3 April ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, pemilik agensi pelancongan Sunny Travel, Suziana Mohammad, 46, berkata, sepanjang 22 tahun mengusahakan perniagaan di Terminal Pelancongan Besut di jeti berkenaan, ini adalah kali pertama pemandangan di situ suram tanpa pengunjung.
Katanya, tahun lalu mencatatkan sejarah apabila kemasukan pengunjung paling tinggi pernah direkodkan ke Pulau Perhentian sebaik sahaja kerajaan menamatkan PKP dan membenarkan aktiviti rentas negeri.
“Walaupun pelancong terlampau ramai kita seronok melihat suasana riuh-rendah di sepanjang laluan ke jeti tetapi kini keadaannya jauh berbeza dan tiada langsung kesesakan orang ramai dan kenderaan di sini,” katanya.
Menurut kakitangan Bubu Resort, Saiful Zahilie Mohd. Tauzi, 29, ketika ini kurang 40 peratus pengusaha hotel dan resort di samping agensi pelancongan yang kembali beroperasi di pejabat masing-masing di Terminal Pelancongan Besut itu.
“Kebanyakannya resort di Pulau Perhentian masih belum beroperasi sebab itulah kawasan terminal pelancongan ini seolah-olah mati tiada pengunjung,” katanya. – UTUSAN ONLINE