JOHOR BAHRU: Jenazah wanita yang ditembak suaminya ketika sedang tidur dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Terengganu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia berikutan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap mangsa sepadan dengan ahli keluarganya.
Menurut beliau, keputusan DNA itu diperoleh malam tadi sebelum keluarga mangsa menuntut jenazah wanita tersebut.
“Keputusan DNA sudah diterima dengan sampel mangsa yang diuji sepadan dengan sampel keluarga terdekatnya.
“Jenazah Allahyarhamah dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Terengganu,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Pada 1 Mac lalu, seorang ibu kepada dua anak lelaki yang tinggal di Taman Saujana, Kota Tinggi, dekat sini dilaporkan hilang oleh suaminya yang bekerja sebagai pemandu jengkaut.
Bagaimanapun, jiran mereka yang turut ditahan bersama suspek utama membongkar kejadian sebenar kepada pihak polis sehingga membawa kepada penemuan mayat mangsa di sebuah ladang di Bandar Penawar.
Lebih menyayat hati, mayat mangsa berusia 38 tahun itu ditemukan tersumbat dalam tong air berwarna biru yang ditanam di ladang tersebut kira-kira 30 kilometer daripada tempat kejadian.
Laporan bedah siasat sebelum ini mendedahkan mangsa ditembak dari jarak dekat menggunakan senapang angin ketika sedang tidur.
Malah, Ayob Khan sebelum ini berkata, polis tidak menolak kejadian itu berkemungkinan bermotifkan perasan cemburu dan masalah rumah tangga berikutan penemuan surat tuntutan fasakh di rumah pasangan itu. -UTUSAN ONLINE