Jenayah syariah: 200 peguam sivil, syariah gesa pinda Perlembagaan - Utusan Malaysia

Jenayah syariah: 200 peguam sivil, syariah gesa pinda Perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seramai 200 peguam sivil dan syarie menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan bidang kuasa negeri menggubal jenayah syariah dengan seberapa segera mungkin.

Mereka melibatkan pengamal undang-undang daripada Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa).

Menerusi kenyataan bersama, kumpulan itu menyatakan kebimbangan terhadap implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan kes Iki Putra lawan Kerajaan Negeri Selangor terhadap bidang kuasa negeri menggubal undang-undang jenayah Islam.

Kata mereka, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berbeza berbanding sebelum ini sekali gus mengehadkan lagi enakmen jenayah Syariah.

“Dengan keputusan ini, kami bimbang semakin banyak peruntukan enakmen jenayah syariah sedia ada bakal dicabar dan dibatalkan di atas alasan sama.

“Ia akhirnya melumpuhkan perundangan jenayah Islam negeri-negeri seluruh Malaysia,” kata kenyataan itu hari ini.

Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang Iki Putra terhadap Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor 1995).

Ia sekali gus mengetepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Sebelum ini, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan pertuduhan ini, Iki Putra mencabar peruntukan Seksyen 28 itu dengan mendakwa negeri atau mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Dalam pada itu, tegas kenyataan berkenaan, Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut secara ringkasnya, memutuskan bahawa peruntukan enakmen jenayah Syariah berkenaan kesalahan luar tabii tidak sah, jika kandungannya menyentuh undang-undang jenayah lain.

“Mahkamah memutuskan meskipun negeri mempunyai bidang kuasa luas untuk menggubal kesalahan undang-undang mengikut perintah ajaran agama Islam tetapi tidak boleh menyentuh mana-mana perkara Senarai Persekutuan termasuk perkara undang-undang jenayah.

“Ungkapan undang-undang jenayah di bawah Senarai Persekutuan mempunyai maksud yang luas. Akibatnya ini bakal membatalkan banyak peruntukan enakman jenayah syariah jika dicabar kelak,” kata kenyataan itu.

Kenyataan sama menjelaskan, keputusan bakal menimbulkan ketidaktentuan bidang kuasa apabila tiada lagi badan legislatif sama peringkat Persekutuan atau negeri boleh menggubal undang-undang menghalang umat Islam melakukan perkara haram dalam hukum syarak.

Contohnya, kesalahan berjudi jelas haram dalam Islam sebaliknya kesalahan berjudi ini tergolong dalam perkara undang-undang jenayah Senarai Persekutuan.

“Oleh kerana kes ini menyentuh peruntukan Perlembagaan Persekutuan maka pada kami, tiada penyelesaian yang sesuai wujud kecuali perlembagaan kita dipinda,” tegas kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN