Jejambat runtuh: Kurang perhatian terhadap keselamatan pengguna - Utusan Malaysia

Jejambat runtuh: Kurang perhatian terhadap keselamatan pengguna

SOIMAN Jahid (tengah) memakaikan tanda pangkat KB22 kepada penerima pada majlis lawatan kerja rasmi ke JBPM Melaka di BBP Bukit Katil, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pembinaan sesuatu struktur dalam kalangan kontraktor dan pemaju lebuh raya berada pada tahap yang rendah sehingga membahayakan pengguna jalan raya.

Itu penegasan yang dibuat Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Soiman Jahid ketika diminta mengulas insiden nahas di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) semalam yang mengorbankan dua nyawa.

Beliau berkata, meskipun tragedi itu disebabkan sebuah treler melanggar struktur binaan, tetapi, kejadian itu masih boleh dielak andai pihak bertanggungjawab memberi lebih perhatian kepada aspek keselamatan pengguna, kekuatan struktur dan amaran ketinggian kenderaan yang boleh melaluinya.

“SOP tiada kecacatan, cuma, pematuhan di peringkat pelaksana itu kurang saya tengok. Pada pengalaman saya, sepatutnya apabila melibatkan struktur pembinaan di lebuh raya, risikonya amat tinggi terutama kepada pengguna jalan raya yang berkenaan. 

“Jadi, SOP pembinaan yang telah ditetapkan ini perlu dipatuhi oleh setiap kontraktor. Khususnya dari segi keselamatan pengguna yang melalui, dari segi kekuatan, dari segi amaran-amaran ketinggian dan sebagainya. 

“Supaya kenderaan-kenderaan yang melalui tidak melebihi ketinggian paras siling dan tidak akan melanggar struktur yang melintang jalan. Inilah keadaan-keadaan yang patutnya dilihat oleh pemaju yang membangunkan struktur terutamanya di lebuh raya,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja rasminya ke Melaka di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah JBPM negeri, Abu Obaidat Mohamad.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, rata-rata pengguna MRR2 menyuarakan kebimbangan berikutan sekali lagi Projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) runtuh dan menyebabkan dua terbunuh dan tiga cedera.

Runtuhan kali ini berlaku disebabkan kemalangan membabitkan sebuah treler yang melanggar struktur binaan yang terdapat di lebuh raya berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan yang lain, Soiman memaklumkan, beberapa buah BBP baharu akan dibina di negeri ini selaras dengan keperluan semasa.

“Di Melaka, kita mempunyai 10 buah BBP yang telah beroperasi dan kita rasakan beberapa tempat lagi yang perlu dibangunkan bagi menampung keperluan perkhidmatan kebombaan pada masa depan.

“Ia juga untuk memastikan masa tindak balas di bawah 10 minit seperti di negara-negara maju dapat kita capai. JBPM telah mengenal pasti beberapa tapak untuk dibangunkan BBP baru di negeri ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN