GEORGETOWN: Semua pihak diingatkan tidak menjadikan larangan aktiviti penyembelihan di premis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai isu politik untuk meraih perhatian rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, ini kerana fakta mengenai isu berkenaan telah dijelaskan berulang kali oleh MBPP.
Malah katanya, larangan aktiviti penyembelihan di pasar awam itu juga bukan perkara baharu memandangkan sudah ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada April 2006.
“Jangan politikkan isu ini, saya dan kerajaan negeri terbuka untuk mendengar keluhan mereka yang terlibat serta mencari jalan penyelesaian,” katanya ketika sesi libat urus antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Sebelum ini, Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang mendakwa bekalan ayam di bahagian pulau di negeri ini bakal dimonopoli sebuah syarikat berpangkalan di Singapura bermula Mac.
Bagaimanapun MBPP menjelaskan tiada paksaan bagi peniaga-peniaga ayam untuk mendapatkan bekalan ayam bersih dari pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Batu Lancang seperti yang didakwa.
MBPP juga bersetuju menangguhkan penguatkuasaan larangan aktiviti penyembelihan di premis sehingga Mei depan bagi memberi lebih banyak masa kepada peniaga melakukan persediaan.
Menurut Jagdeep, MBPP juga telah menjalankan beberapa mesyuarat dengan pihak berkepentingan bagi memastikan penguatkuasaan berkenaan berjalan lancar.
“Mesyuarat bersama Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) juga telah dijalankan dan mereka turut bersetuju bekalan ayam adalah halal di pusat penyembelihan di Batu Lancang,” katanya.
Dalam perkembangan lain Jagdeep berkata, setakat 18 Mac lalu sebanyak 1,551 premis ditutup oleh MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akibat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan kebersihan am.
“Di bahagian pulau sebanyak 32 premis ditutup manakala di Seberang Perai pula 1,519 premis telah diarahkan tutup termasuk pusat hiburan, penjaja, pasar awam dan juga kilang,” katanya.