Jangan keliru perihal kompaun RM10,000 - Utusan Malaysia

Jangan keliru perihal kompaun RM10,000

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana pihak diminta tidak cuba mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung peningkatan kompaun kepada RM10,000 bagi kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) kerana ia dibuat semata-mata bagi melaksanakan tindakan lebih tegas dalam usaha memutuskan penularan jangkitan Covid-19. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal ehwal Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenaikan nilai penalti itu termasuk penalti tidak melebihi RM50,000 bagi pertubuhan perbadanan selepas pindaan Seksyen 25 Akta 342 sebagai pengajaran kepada mereka yang telah melakukan kesalahan agar tidak mengulanginya. 

Katanya, menerusi pindaan itu juga, ia  membolehkan pegawai yang diberi kuasa termasuk dari  badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan kompaun bagi kesalahan. 

“Di bawah Akta 342, seksyen 24 peruntukan penalti am tidak dinyatakan berapa jumlah denda, maka, ia terpaksa merujuk Akta Tafsiran, seksyen 27 iaitu sekiranya mana-mana peruntukan tidak menyatakan amaun penalti, maka ia dianggap tidak lebih RM1,000.

“Oleh kerana dalam rangka memerangi Covid-19, kita dapati dari segi penguatkuasaannya walaupun sudah ada peruntukan kompaun tidak lebih RM1,000, ramai lagi masih tidak patuh SOP menyebabkan kerajaan berpandangan bahawa amaun jumlah penalti ini perlu ditingkatkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Takiyuddin, undang-undang penalti tidak melebihi RM10,000 itu bukan bererti mesti dikenakan pada jumlah itu. 

Katanya, dalam hal itu, pihak yang diberikan kuasa mengenakan kompaun mempunyai budi bicara berdasarkan kes dalam keadaan munasabah.

“Sebagai contoh, kelab malam tidak boleh buka, tetapi kalau ada operator tetap membuka kelab malam dan ada pengunjung, maka, kesalahan-kesalahan ini dianggap serius dan boleh dikenakan penalti sampai RM10,000.

“Mungkin ada yang kata tidak membebankan mereka, tetapi RM10,000 ini sebagai pencegahan melanggar SOP dalam usaha memerangi Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN