Jangan burukkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan - Utusan Malaysia

Jangan burukkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru semua pihak tidak menyebarkan berita palsu bagi mengelakkan salah tanggapan terhadap vaksinasi Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Adham Baba berkata, sokongan semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Semua pihak diseru untuk tidak melaporkan atau menularkan maklumat tidak tepat dan tidak sahih bagi mengelakkan salah tanggapan terhadap vaksinasi Covid-19.

“Saya juga mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah,” katanya melalui ciapan yang dimuat naik dalam twitter rasminya, semalam.

Kementerian Kesihatan mengesahkan kematian seorang jururawat Hospital Pulau Pinang adalah disebabkan serangan jantung dan bukan disebabkan suntikan vaksin Covid-19.

Jururawat berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia disebabkan penyakit yang dihidapi olehnya dan tiada kaitan dengan suntikan vaksin yang diberikan.

Dia bekerja di Pulau Pinang namun menetap di Sungai Petani dan menerima suntikan pertama vaksin lima hari lalu iaitu pada 12 Mac.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah yang dilaporkan sebuah portal berkata, hasil laporan autopsi forensik mengesahkan jururawat itu meninggal dunia disebabkan serangan jantung.

Wanita itu bertugas di wad unit rawatan intensif neonatal (NICU) Hospital Pulau Pinang sejak hampir 20 tahun. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN