Jana pendapatan melalui belon, bunga - Utusan Malaysia

Jana pendapatan melalui belon, bunga

PASANGAN suami isteri, Mohd Zaki dan Siti Sarah mencari rezeki dengan menghasilkan dekorasi berasaskan belon dan bunga di Kota Bharu.-UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Asalkan kreatif selain rajin berusaha, belon dan bunga juga boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan sehingga mencecah RM5,000 sebulan.

Menggunakan dua bahan itu, sepasang suami isteri ligat mencari rezeki dengan menawarkan perkhidmatan dekorasi hadiah hari jadi dan ulang tahun perkahwinan di sekitar daerah ini.

Mohd. Zaki Hassan, 34, bersama isteri, Siti Sarah Jamaludin, 33, memulakan perniagaan itu dengan modal RM2,000 pada 2016 di rumah mereka di Kampung Badang, di sini.

Namun, kata lelaki itu, selepas beberapa tahun berniaga, mereka masih bergelut dan menempuh pelbagai dugaan untuk meneruskan perniagaan sehingga hampir berputus asa.

“Namun, syukurlah pada tahun lepas, perniagaan kami semakin berkembang biarpun negara diancam pandemik Covid-19.

“Sekarang, kami berjaya membuka kedai dengan sewa RM700 sebulan dan mempunyai tiga pekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Zaki, proses untuk menghasilkan dekorasi pelbagai bentuk mengambil masa antara satu hingga empat jam bergantung kepada saiz, susunan dan reka bentuk. 

Hasil dekorasi mereka dijual pada harga serendah RM35 hingga RM500, mengikut bentuk dan saiz bersesuaian.

Katanya, menggunakan belon sebagai dekorasi ada risikonya tersendiri iaitu mudah pecah dan boleh menyebabkan kerugian.

“Ia memerlukan teknik tertentu dan perlu berhati-hati ketika mengendalikannya,” katanya yang turut menawarkan perkhidmatan penghantaran ke lokasi diminta pelanggan dengan caj tertentu.

Mohd. Zaki yang juga bekas penjawat awam berkata, dia dan isteri belajar menghasilkan dekorasi tersebut dalam satu bengkel di Indonesia dan tidak pernah berhenti mencari idea menghasilkan lebih banyak dekorasi terkini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN