KUALA KANGSAR: Jambatan keretapi ikonik yang menjadi warisan negeri ini, Jambatan Victoria genap berusia 121 tahun setelah dirasmikan pada 21 Mac 1900 dalam satu majlis gilang gemilang yang disaksikan Sultan Perak ketika itu, Sultan Idris Murshidul Azzam Shah.
Walaupun tiada majlis khusus diadakan bagi memperingati pembinaan jambatan tersebut kerana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), nilai warisan Jambatan Victoria kekal dalam ingatan penduduk daerah ini.
Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkifle berkata, Jambatan Victoria juga dikenali sebagai Jambatan Enggor yang terletak di Enggor, di sini adalah antara jambatan kereta api tertua di Malaysia.
Katanya, jambatan itu mula dibina pada 1897 dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan yang dinamakan sempena Ratu Victoria iaitu pemerintah Empayar British.
“Usaha kerajaan khususnya menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Warisan Negara dan Kerajaan Negeri Perak telah memulihara sejarah serta warisan Jambatan Victoria menjadi khazanah negara.
“Jambatan ini adalah tinggalan teknologi dan kejuruteraan pembinaan era kolonial dengan struktur yang masih kukuh, bukan sengaja hendak dibanggakan tetapi dapat melihat untuk dikaitkan dengan kemajuan Perak sendiri suatu ketika dulu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Jambatan Victoria dibina dibina bagi menghubungkan laluan kereta api dari Enggor ke Kuala Kangsar, namun pada 1910 jambatan itu digunakan sepenuhnya untuk laluan kereta api dari Seberang Perai, Pulau Pinang ke Johor Baharu.
Ia digunakan sehingga tahun 2002 apabila jambatan baharu dibina bagi menggantikan laluan kereta api.
Nor Hisham berkata, semasa Perang Dunia Kedua, sebahagian daripada jambatan itu dibom tentera British bagi menghalang kemaraan askar Jepun.
“Disebabkan tidak boleh dilalui, tentera-tentera Divisyen Ke-5 dan Rejimen Ke-4 Divisyen Pengawal Diraja Jepun menyeberangi Sungai Perak di sini menggunakan poonton pada 26 Disember 1941.
“Pasukan ini kemudian mara untuk menawan Ipoh dan menduduki pangkalan udara British. Ini juga sebahagian sejarah yang ada kaitan dengan Jambatan Victoria,” ujarnya.
Sementara itu, penduduk Kuala Kangsar, Adlin Sani, 44 berkata, pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa untuk mengindahkan Jambatan Victoria termasuk memasang sistem pencahayaan pada waktu malam yang menjadikan lokasi itu tumpuan lensa pengunjung. -UTUSAN ONLINE