Jambatan angkat ikon pelancongan baharu terbaik negara - Utusan Malaysia

Jambatan angkat ikon pelancongan baharu terbaik negara

SEKTOR pelancongan merupakan antara segmen yang sangat terjejas dalam tempoh pandemik Covid-19 ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mercu tanda ikonik Terengganu, jambatan angkat atau drawbridge diiktiraf ikon pelancongan baharu terbaik Malaysia pada Anugerah Kecemerlangan Pelancongan Dunia 2020.

Penyampaian anugerah itu disampaikan Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dalam satu majlis di sini.

Uzaidi berkata, jambatan ala ‘London Bridge’ itu bukan sahaja berjaya menarik pengunjung tempatan malah turut mendapat perhatian dunia.

“Rakan-rakan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan mereka tidak sabar untuk menghantar pelancong kembali ke negeri ini.

“Walaupun negeri-negeri lain mempunyai mercu tanda ikonik masing-masing misalnya Menara Teruntum di Pahang, tetapi impak jambatan angkat ini lebih tinggi kerana reka bentuknya yang sama seperti London Bridge, bahkan popularitinya juga setanding dengan Menara Berkembar Petronas di KLCC,” katanya kepada pemberita.

Sebelum ini, jambatan angkat yang sepanjang 638 meter dengan bahagian tengahnya (bascule) yang boleh diangkat untuk laluan kapal itu pernah merangkul anugerah ikon pelancongan baharu terbaik pada Anugerah Emas MTC 2019 di Selangor.

Sementara itu, Ariffin berkata, pengiktirafan terbaharu itu hasil kerja keras kerajaan negeri dan sektor pelancongan dalam mempromosikan produk dan keunikan Terengganu.

“Terima kasih kepada pihak MTC, anugerah ini sepatutnya diterima di Berlin, Jerman, namun kekangan Covid-19 menyebabkan majlis itu terpaksa dibatalkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN