KUALA LUMPUR: Apakah wujud satu lagi jajaran politik baharu selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berlangsung dua hari bermula hari ini?
Ia khususnya membabitkan hubungan antara UMNO dengan PKR selepas parti Melayu itu memutuskan untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun, keputusan lanjut terserah kepada suara akar umbi menerusi perbahasan perwakilan sama ada ingin meneruskan eksperimen baharu atau sebaliknya.
Meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid menegaskan ‘No PKR, No DAP’, jika akar umbi menginginkan jajaran politik baharu, pemimpin parti perlu akur dengan kehendak bawahan.
Bagi Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, UMNO dijangka memperoleh kerusi terbanyak dalam PRU-15 dan parti itu berkemungkinan mencari blok baharu untuk membentuk kerajaan.
Katanya, PKR dan DAP dilihat sesuai untuk ke arah tersebut memandangkan eksperimen selama setahun bersama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak menguntungkan mereka dan negara.
Katanya, pengalaman setahun bersama parti-parti Melayu dalam PN, sebaliknya kedudukan dan keistimewaan Melayu-Islam terus terhakis akhirnya tidak ke mana.
“Adalah lebih baik UMNO bergerak solo dalam pilihan raya dan berpotensi jadi parti Melayu tunggal, kemungkinan bekerjasama dengan PKR dan DAP bagi membentuk kerajaan.
“UMNO memiliki kelebihan di kawasan-kawasan Melayu luar bandar manakala PKR pula di kawasan bandar dan DAP di kawasan majoriti bukan Melayu khususnya kaum Cina,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mujibu namun berkata, keputusan itu hanya bergantung kepada suara akar umbi dan akhirnya dimuktamadkan oleh Majlis Tertinggi UMNO sendiri.
“Apa-apa Perhimpunan Agung UMNO kali ini pasti menghangatkan suhu politik negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE