Jaga darjat eksklusif mahasiswa - PM - Utusan Malaysia

Jaga darjat eksklusif mahasiswa – PM

MUHYDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemimpin mahasiswa yang dilantik melalui Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) adalah suara kepada pelajar-pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sekali gus merupakan bakal pemimpin masa hadapan negara.

Justeru, beliau berkata, ruang dan kebebasan yang diberikan kerajaan untuk para pelajar menyampaikan segala permasalahan atau apa sahaja isu wajar disantuni sebaik mungkin mengikut saluran betul. 

Menurut Perdana Menteri, ia perlu disulami tanggungjawab untuk meletakkan nilai integriti sebaris dengan nilai rasional selain bersandarkan kepada kesopanan dan kesusilaan. 

Sebaliknya, kata beliau, setiap perkara yang diputuskan hendaklah jauh dari desakan emosi, membuta tuli atau hasutan pihak lain agar darjat eksklusif mahasiswa tidak disalahgunakan. 

“Tuntasnya, sesi pada hari ini merupakan satu medium yang signifikan untuk menyangkal dakwaan bahawa pelajar IPT yang sinonim dengan istilah ‘darah muda’ sentiasa membuat keputusan terburu-buru. 

“Sementelahan, medan ini ialah acuan yang akan membentuk pemimpin pelajar sekalian untuk membuat keputusan secara matang di samping membina keperibadian unggul,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan perdana sempena Mesyuarat Perdana MPPK Tahun 2021 secara dalam talian hari ini.

Perdana Menteri turut meletakkan harapan agar Mesyuarat Perdana MPPK pada tahun ini akan meneruskan tradisi mesyuarat-mesyuarat terdahulu dan mampu membentangkan hasrat-hasrat yang berupaya meningkatkan kesejahteraan pelajar IPT dan masyarakat secara keseluruhannya. 

Beliau turut berpesan agar barisan kepimpinan mahasiswa itu dapat memanfaatkan platform berkenaan dan bermusyawarah secara matang, rasional serta beretika.

Sementara itu, Muhyiddin meminta golongan itu dapat menjadi jurucakap kepada pelajar IPT untuk menguar-uarkan manfaat program vaksinasi yang merupakan antara usaha kerajaan menurunkan kadar jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk.

“Bagi fasa ketiga yang akan datang nanti, saudara-saudari merupakan sebahagian daripadanya. Maka, saya mengharapkan bahawa semuanya telah pun mendaftarkan diri untuk divaksin,” katanya. 

Pada masa ini, negara dalam proses fasa pertama pemberian vaksin yang dikhususkan kepada petugas barisan hadapan. 

Dijangkakan, bermula bulan depan, fasa kedua pemberian vaksin kepada kakitangan penjaga kesihatan dan perkhidmatan penting lain serta warga emas berumur 65 tahun ke atas akan dilaksanakan. 

Ini seterusnya akan disusuli dengan fasa ketiga pada Mei 2021 yang mensasarkan sekurang-kurangnya 13.7 juta penduduk berumur 18 tahun ke atas menerima vaksin.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN