KEPALA BATAS: DAP negeri berharap isu kekecohan yang berlaku semasa konvensyen parti itu di Perak hari ini tidak akan berulang semasa konvensyen serupa berlangsung di Pulau Pinang minggu depan.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow berkata, untuk itu Jawatankuasa Pemilihan di peringkat negeri akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepanjang konvensyen diadakan.
“Memandangkan tahun ini ada pemilihan, saya menganggarkan kehadiran (perwakilan) akan lebih ramai.
“Jadi, saya menggesa semua perwakilan berdisiplin, mematuhi SOP serta mengikut arahan Speaker Konvensyen dan Pegawai Pemilihan supaya mesyuarat dapat berlangsung dengan teratur dan kemas,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden DAP Pusat berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden kekecohan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) susulan dakwaan berlaku penipuan mengenai jumlah perwakilan yang dibenarkan untuk mengundi bagi memilih ahli jawatankuasa DAP negeri.
Dakwaaan itu ditimbulkan oleh kumpulan gandingan Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran apabila pihak penganjur terus membenarkan perwakilan membuat pendaftaran untuk mengundi lebih daripada masa yang ditetapkan.
Difahamkan, seramai 44 orang calon akan bertanding untuk menganggotai jawatankuasa pemilihan DAP Pulau Pinang kali ini.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow yang ditemui ketika merasmikan Pesta Pameran Barang Tempatan, Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran di sini berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus menarik kehadiran pelancong dengan mengetengahkan konsep ekopelancongan sebagai daya tarikan.
“Setiap daerah ada potensi tersendiri untuk dimajukan dan kita melihat daerah Seberang Perai Utara (SPU) ini mempunyai kawasan penanaman sayur dan penternakan yang baik untuk dimajukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE