Jadi mata, telinga lapor pencemaran alam sekitar - Utusan Malaysia

Jadi mata, telinga lapor pencemaran alam sekitar

SEBAHAGIAN daripada peserta bergambar ketika menyertai Majlis Pelancaran Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) dan Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik serta Elektronik Isi Rumah di di Taman Jajar, Sungai Ara, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Orang awam disaran memainkan peranan dengan menjadi ‘mata dan telinga’ kepada masyarakat dalam melaporkan sebarang kejadian pencemaran kepada pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, ini kerana pemeliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama selaras dengan tema Majlis Pelancaran Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) dan Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik serta Elektronik Isi Rumah hari ini.

Katanya, program DSK yang dilancarkan secara serentak di seluruh negara menerusi beberapa agensi terpilih di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) itu adalah sempena Sambutan Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac lalu.

“Menerusi program ini, pihak kementerian menyasarkan membina sehingga 10,000 kilometer (km) denai di seluruh negara menjelang 2030 dan dilaksanakan bagi menangani cabaran sosio-alam sekitar menerusi pengurusan serta penggunaan alam secara lestari.

“Pada masa sama, ia juga bertujuan memelihara dan memulihara keindahan sungai, sekali gus mengawalnya daripada risiko serta aktiviti pencemaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan program dan kempen berkenaan untuk peringkat negeri Pulau Pinang di Taman Jajar, Sungai Ara, di sini.

Turut berlangsung sempena program yang mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan komuniti setempat itu ialah aktiviti gotong-royong, penanaman pokok hiasan serta penubuhan perpustakaan digital.

Beliau berkata, ketika ini, Sungai Ara merupakan salah satu alur air di negeri ini yang berada pada tahap kualiti terbaik iaitu kelas pertama mengikut Indeks Kualiti Air Sungai di Malaysia.

“Dengan adanya program seperti ini, saya berharap kesedaran mengenai penjagaan alam sekitar serta sumber-sumber alam semula jadi dapat disebar-luaskan kepada setiap golongan masyarakat di negara ini,” katanya.

Sementara itu katanya, kempen pengumpulan buangan atau sisa elektrik dan elektronik isi rumah turut dilaksanakan sejajar dengan Hari Pengumpulan E-Waste (sisa buangan elektronik) yang ditetapkan pada Sabtu terakhir setiap bulan bermula Januari 2021.

“Buangan e-waste ini merupakan buangan terjadual yang turut mengandungi logam-logam berat yang boleh mencemarkan alam sekitar dan membahayakan kesihatan jika tidak dilupuskan melalui kaedah ‘Environmental Sound Manner’ atau ESM,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN