Jadi ‘jurucakap’ parti lain lebih teruk daripada lompat parti - Utusan Malaysia

Jadi ‘jurucakap’ parti lain lebih teruk daripada lompat parti

PERWAKILAN mengaminkan doa semasa Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir pemimpin UMNO yang seolah-olah menjadi ‘jurucakap’ kepada parti lain disifatkan lebih teruk perangainya daripada mereka yang melompat meninggalkan parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sehubungan itu UMNO perlu berasa bimbang dengan pemimpin seperti itu dan keadaan tersebut tidak sepatutnya berlaku dalam parti berkenaan.

“Saya takut dengan mereka yang belum lari, perangai mereka lebih teruk daripada orang yang dah lari. Mana tidaknya, dulu sebelum kita ambil kerajaan, cakap berdegar.

“Tetapi apabila sudah dapat, dia menjadi jurucakap untuk parti lain pula,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO di sini semalam.

Dalam pada itu beliau berkata, BN perlu menang kembali dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan menjadi tunjang kepada kestabilan politik negara.

Katanya, kestabilan politik itu berkait rapat dengan keseimbangan ekonomi terhadap rakyat.

“Kita pernah berdepan krisis ekonomi pada 1985. Huru-hara dunia. Ketika itu kita berdepan krisis komoditi kerana kurang makanan yang nak disalurkan pada negara, tapi kita dapat atasi kerana ada kestabilan politik,” katanya.

Namun kata Johari, ketidakstabilan politik hari ini akhirnya menjejaskan ekonomi rakyat yang dilihat tiada perubahan positif.

“Apabila kita kalah pada PRU-14, hilang punca kestabilan politik dalam negara. Lihat kembali parti yang memerintah ketika itu Bersatu dapat 13 kerusi, PKR 47 kerusi, DAP 42, Amanah 11, dan tunjang dia siapa? Parti paling kecil 13. Sebab itu bertahan 22 bulan. Kita pun ada juga parti dalam gabungan kita, BN. Tapi kita ada tunjang. Mereka Tak ada. Sebab itu goyang dan tak boleh memberi kestabilan politik.

“Jadi tertubuh PN, pun sama juga. Presiden dan Timbalan yakinkan kita semua eloklah kita gabung, PH dah jatuh, jadi kita nak pakat-pakat ambil balik kerajaan. Saya tak setuju. Saya kata kalau nak tubuh kerajaan kena cari parti yang banyak kerusi mengetuai kerajaan ini. Tapi apa yang berlaku? Sama juga penyakit,” jelasnya.

Maka sebab itu katanya, BN perlu berdiri sendiri bagi mengembalikan kestabilan politik yang dijadikan sebagai teras keseimbangan ekonomi rakyat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya