Isu ubah suai ekzos: JPJ bukan buat 'pusingan U' - Utusan Malaysia

Isu ubah suai ekzos: JPJ bukan buat ‘pusingan U’

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan menjelaskan tindakan advokasi dan nasihat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung isu ubah usai ekzos motosikal ketika ini bukan ‘pusingan U’.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perkara itu sudah dijelaskan olehnya secara terperinci pada 16 Mac lalu.

Beliau berkata, kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mendakwa ia satu tindakan ‘pusingan U’ adalah tidak benar dan mengelirukan.

“Saya sudah menjelaskan bahawa JPJ mengambil pendekatan berbentuk advokasi dan nasihat dahulu, sebelum sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana yang mengubah suai ekzos motosikal.

“JPJ memainkan peranannya dengan memberikan advokasi dan nasihat kepada pengguna jalan raya, bukannya semata-mata mengenakan saman terhadap pesalah jalan raya sebagaimana dakwaan sesetengah pemimpin politik seperti Guan Eng,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Katanya, kerajaan memahami ramai rakyat yang bergantung sepenuhnya dengan motosikal bagi mencari rezeki dan pastinya sukar jika dikenakan denda kerana melakukan kesalahan.

Ka Siong berkata, pendekatan berbentuk advokasi dan nasihat adalah strategi penguatkuasaan yang sering diguna pakai sejak sekian lama kepada pengguna jalan raya.

Menurutnya, berhubung kesalahan bagi pengubahsuaian tanpa kebenaran ekzos motosikal, dua pendekatan advokasi dan nasihat digunakan.

“Ia termasuk pengeluaran Notis Temu Siasat, di bawah Seksyen 114(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi membolehkan JPJ melakukan siasatan dan pengumpulan maklumat berkaitan kesalahan pengubahsuaian tanpa kebenaran ekzos motosikal.

“Selain itu, JPJ juga akan mengeluarkan Notis Arah Periksa Kenderaan, di bawah Seksyen 61(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (Notis PG1), di bawah Seksyen 59(1), APJ 1987,” katanya.

Katanya, melalui pendekatan advokasi itu, pemilik diberikan peluang membaiki atau menukar ekzos yang mematuhi pembuatan dan kegunaan yang telah ditetapkan dalam tempoh 10 hari.

Jelasnya, pemilik perlu mengemuka dan membawa semula kenderaan motor ke mana-mana pejabat JPJ bagi tujuan pemeriksaan sebagai bukti pembaikan terhadap ekzos telah dibuat.

JPJ menetapkan kompaun sebanyak RM300 bagi kesalahan ubah suai ekzos kenderaan motor tanpa kebenaran.

Jika disabitkan kesalahan di mahkamah, pesalah boleh didenda di bawah Seksyen 119 APJ 1987, dan denda tidak lebih RM2,000, atau boleh dipenjara tidak lebih enam bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya