Isu nelayan Tanjung Bruas, selesai 'menang-menang' - Sulaiman - Utusan Malaysia

Isu nelayan Tanjung Bruas, selesai ‘menang-menang’ – Sulaiman

SULAIMAN Md. Ali ketika sidang akhbar khas di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini. - UTUSAN/HADI AB. MANAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Isu pemanjangan Jeti Tanjung Bruas di Tanjung Kling, dekat sini perlu diselesaikan secara ‘menang-menang’ oleh pengurusan Tanjung Bruas Port Sdn. Bhd. selain 300 nelayan yang terjejas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan pengurusan jeti berkenaan mengadakan rundingan bagi mencari titik persamaan di antara kedua-dua pihak terutamanya hal berkaitan pampasan dan ruang untuk menangkap ikan di kawasan sekitar sepanjang tempoh pembinaan.

Beliau berkata, pihak pengurusan perlu mempertimbangkan dua perkara penting itu kerana ia berkait-rapat dengan periuk nasi nelayan dan dilaporkan lokasi pemanjangan jeti itu merupakan lubuk ikan. 

“Pampasan nelayan, saya minta kepada Tanjung Bruas Port Sdn. Bhd. untuk berunding dengan pihak persatuan nelayan, begitu juga wakil rakyat kawasan, situasi menang-menang.

“Didakwa tempat itu banyak ikan, biasalah, nelayan tangkap ikan dekat mana lagi? Jadi, apa kerja-kerja penambakan mesti akan menjejaskan dan menghilangkan pendapatan nelayan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee memberitahu, projek itu tidak pernah dibincangkan dengan kerajaan negeri sehingga siap dibina.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan rasa kurang senang apatah lagi isu terbabit telah menjejaskan pendapatan nelayan setempat.

Dalam pada itu, Sulaiman turut menjelaskan, kerja-kerja pemanjangan jeti hanya melibatkan 50 meter sahaja, bukan 600 meter seperti yang dilaporkan beberapa media.

Katanya lagi, tidak timbul juga sebarang isu pelanggaran syarat seperti yang didakwa kerana permohonan untuk kerja pemanjangan jeti sepanjang 50 meter itu serta kebenaran merancang telah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). 

“Semua syarat-syarat dan proses telah dipatuhi termasuk Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

“Projek pemanjangan baru melalui fasa pertama, manakala konsesi bagi pemanjangan jeti untuk tempoh 2020 hingga 2027, tertakluk kepada kajian dan kelulusan yang akan diberikan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN