Isu kartel PDRM terkawal - Utusan Malaysia

Isu kartel PDRM terkawal

ABDUL Hamid Bador
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Polis Negara (KPN) memberi jaminan bahawa isu kartel Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjatuhkan beliau berada dalam keadaan terkawal dan dapat ditangani.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pendedahan isu kartel itu dibuat adalah sebagai tanggungjawab seorang Ketua Polis Negara.

Menurutnya, kartel yang dimaksudkan bukan Columbia atau Mexico sebaliknya adalah bentuk kumpulan pegawai yang masih tidak insaf dan berfikiran di takuk lama.

“Kegiatan ini dilakukan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Namun, isu ini dapat ditangani dan tidak perlu dibawa ke peringkat atasan.

“Mereka yang kritik tindakan dan mendedahkan perkara ini, saya minta mereka sedar dan muhasabah diri khususnya mana-mana individu yang telah bersara dan ingin menggunakan kedudukan dalam PDRM meminta itu ini daripada pegawai saya. Namun, apabila tidak dilayan kecewa dan cuba mencari salah saya.

“Saya ingin tegaskan, PDRM bukan saya punya, tetapi kepunyaan negara. Sebagai KPN, mesti yakinkan kerajaan bahawa saya pimpin PDRM ke jalan yang betul.

“Saya ingin betulkan budaya yang tidak baik dan minta pegawai saya bukannya hentikan rantaian Covid-19 sahaja, tetapi, budaya ambil duit daripada bawah ke atas.

“Saya memegang amanah sebagai ketua dan sekiranya gagal saya menanggung dosa dalam menguruskan pasukan ini dengan baik,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut menolak sebarang dakwaan atau khabar angin bahawa pendedahan itu merupakan taktik supaya tempoh perkhidmatannya disambung oleh kerajaan.

Menurut beliau, ini yang tular sekarang dan beliau hairan apabila buat baik ada sahaja suara sumbang sebegini macam-macam katakan.

“Perkara ini tidak ada kaitan dengan kontrak, cukup masa saya beredar.

“Saya juga telah berjumpa dengan Perdana Menteri minggu lalu berhubung perkara ini dan tiada arahan apa-apa daripada beliau,” ujarnya.

Pada masa sama, Abdul Hamid meminta maaf secara terbuka kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan menganggap ia merupakan soal dalaman dan berhak berkongsikan perkara ini kepada orang ramai.

“Saya sekadar menyampaikan kepada menteri (Hamzah), tidak perlu laporan, tetapi terpulang kepada menteri sama ada perkara itu untuk diangkat kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) atau tidak.

“Saya berjumpa dalam masa terdekat dan tiada apa-apa, senyap sinis daripada saya, mungkin beliau tidak tahu mengenai perkara ini. Ada yang suruh buat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), namun, sebenarnya, saya tegaskan, perkara ini masih dalam keadaan terkawal dan tindakan menguar-uarkan adalah dengan harapan semua pihak dan lain-lain pegawai mengambil iktibar daripadanya,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN