PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sepatutnya lebih tegas berhubung isu kalimah Allah berikutan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaannya oleh penganut Kristian.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, tidak sepatutnya seorang menteri langsung tidak mampu menzahirkan apa-apa perasaan ke atas keputusan itu dan sekadar menyebut ‘tunggu dulu’, ‘terlalu awal nak komen’ dan ‘kena tengok dari segi semua aspek’.
Sedangkan, kata beliau, adalah jelas keputusan itu mempunyai kesan yang agak besar kepada negara termasuk kecenderungan Mahkamah Tinggi untuk langsung tidak membuat sebarang rujukan ke atas fatwa-fatwa di dalam membuat keputusan.
“Walaupun fatwa-fatwa tidak mengikat keputusan Mahkamah Sivil, ramai juga hakim yang merujuk fatwa-fatwa di dalam membuat keputusan bagi membolehkan mereka membuat keputusan tepat di dalam isu-isu membabitkan agama Islam.
“Dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, sudah ada fatwa dari Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang diikuti oleh fatwa sama dari Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri kecuali Perlis yang mengambil pendirian berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kamarul Zaman, sebagai contoh, Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 5-7 Mei 2008 adalah berbunyi:
“Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan”.
Katanya, Fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2008 pula adalah berbunyi:
1. Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
2. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan Undang-Undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan, begitu juga dengan Bahagian I Jadual Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Ugama Bukan Islam Kelantan 1981 yang menyenaraikan ‘Allah’ sebagai salah satu daripada 24 perkataan yang tidak boleh dikaitkan dengan agama bukan Islam.
“Masalahnya ialah mengapa Mahkamah Tinggi langsung tidak membuat sebarang rujukan ke atas fatwa-fatwa ini di dalam membuat keputusannya sedangkan negara ini adalah negara yang Perlembagaannya memperuntukkan Islam adalah agama Persekutuannya?
“Paling tidak pun Menteri Hal Ehwal Agama patut zahirkanlah sedikit reaksi spontan seperti apa yang disebut oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah, iaitu ‘berasa dukacita di atas keputusan ini’, supaya tidaklah wibawa kerajaan boleh dipertikai,” katanya. – UTUSAN ONLINE