PUTRAJAYA: Gerakan Belia 4B Pulau Pinang mahu kerajaan segera mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam dalam isu kalimah Allah.
Pengerusinya, Mohd. Hilmi Elias berkata, sekiranya tiada tindakan segera, kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan dilihat masyarakat Islam sebagai lemah mendepani isu sensitif tersebut.
“Pihak kami mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan supaya segera bertindak mengemukakan rayuan dengan kadar segera.
“Apa gunanya retorik yang dimainkan selama ini konon PN adalah sebuah kerajaan Melayu Islam andai perkara seperti ini pun gagal ditanganinya dengan sebaik mungkin,” katanya kesal.
Beliau menyatakan demikian menerusi kenyataan di sini hari ini sebagai mengulas Hakim Datuk Nor Bee Ariffin yang memutuskan kalimah Allah boleh digunakan para penganut Kristian.
Selain itu, mereka juga kini bebas menggunakan kalimah lazim umat Islam iaitu Baitullah dan solat selepas notis larangan oleh Kementerian Dalam Negeri didapati tidak sah dan terbatal.
Mengulas lanjut, Mohd. Hilmi berkata, keputusan Hakim Mahkamah Rayuan itu walaupun untuk penerbitan kitab mereka sendiri adalah sangat memeranjatkan bagi umat Islam di Malaysia.
“Justeru, pihak kami merayu dan gesa agar kerajaan segera memfailkan rayuan di kerana keputusan mahkamah ini akan sekali berkait rapat dengan sensitiviti umat Islam,” tegasnya.
Malah beliau melahirkan kebimbangan jika tidak ditangani dalam masa terdekat, ia dikhuatiri akan menimbulkan suatu suasana tidak harmoni antara penganut dua agama samawi itu.
Sebagai sebuah kerajaan yang majoritinya dianggotai Melayu-Islam ujar beliau, sewajarnya menjadi tanggungjawab PN untuk mempertahankan pelbagai kalimah suci umat Islam ini.
Tindakan pantas dan efisien kata Mohd. Hilmi, dituntut agar perkara yang ada sensiviti sangat tinggi seperti ini mampu ditangani dengan baik dan diharap diselesaikan secara berhemah.
“Rakyat keseluruhan khususnya umat Islam sebenarnya sedang memerhatikan dengan rapi segala tindak-tanduk kerajaan PN selepas ini dalam menangani isu tersebut,” kata beliau. -UTUSAN ONLINE