HULU TERENGGANU: Isteri kepada lelaki yang ditemukan mati lemas di Sungai Petuang di Tasik Kenyir di sini akur dengan pemergian insan tersayangnya walaupun usia perkahwinan mereka baharu mencecah 10 hari.
Syarifah Ramli, 19, berkata, sepanjang tempoh perkahwinan yang cukup singkat itu, dia berpeluang menikmati kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga sekali gus menyifatkan mangsa, Amir Azzizol Abu Bakri, 22, sebagai suami yang terbaik.
Katanya, mereka disatukan sebagai suami isteri pada 21 Mac lalu selepas mengenali antara satu sama lain sejak lima tahun lepas.
“Saya sedih, tetapi, saya bersyukur sekurang-kurangnya jasad suami dijumpai dan sepanjang bergelar isteri saya benar-benar bahagia kerana dia bukan sahaja suami yang terbaik, tetapi, anak serta kawan yang bertanggungjawab.
“Malam tadi, saya bermimpi suami datang dan dia memberitahu rindukan saya di samping meminta membantu membawanya naik ke atas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang pada Sabtu lalu, Amir Azzizol dari Kampung Sungai Buaya di Dungun dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang dipercayai akibat kekejangan otot.
Mayat mangsa yang merupakan pengantin baharu itu ditemukan terapung pada pukul 7.10 pagi ini oleh seorang pengusaha rumah rakit kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dilaporkan lemas.
Sementara itu, Syarifah berkata, perubahan sikap suaminya yang tiba-tiba membeli pakaian, selipar dan telefon bimbit berwarna putih sehari sebelum tragedi berkenaan merupakan petanda dia pergi buat selamanya.
“Putih bukan warna kegemaran suami dan rupa-rupanya itu petanda dia pergi meninggalkan saya untuk selamanya,” katanya yang jenazah suami disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya di Dungun. -UTUSAN ONLINE