KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri hari ini berjaya memperoleh perintah injunksi sementara agar bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Anina Saadudin memadamkan 13 hantaran (postings) di laman Facebooknya yang didak memfitnah Ahli Parlimen Bera itu.
Peguam, Ragunath Kesavan yang mewakili ketika dihubungi memberitahu perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.
Mahkamah turut menetapkan 25 Mac ini untuk pengurusan kes saman fitnah oleh Ismail terhadap Anina.
Pada 5 Mac lalu, Ismail memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya melalui firma guaman, Tetuan Kesavan di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Anina sebagai defendan tunggal.
Menurut pernyataan tuntutan, Ismail mendakwa Anina telah menerbitkan 13 hantaran berbaur fitnah di Facebooknya di antara 5 Februari hingga 3 Mac lalu.
Kenyatan-kenyataan berbaur fitnah itu didakwa bukahlah satu kritikan berkaitan dengan polisi kerajaan atas tugas rasminya sebagai Menteri Pertahanan.
Sebaliknya, hantaran-hantaran tersebut didakwa merupakan serangan peribadi dan disiarkan dengan niat jahat serta bertujuan untuk merosakkan reputasi dan imej Ismail.
Walaupun laporan polis telah dibuat terhadap defendan, Ismail mendakwa Aninatidak menunjukkan rasa sesal atau ambil kisah.
Sehubungan plaintif menuntut satu perintah agar defendan memadamkan kesemua hantaran berbaur fitnah itu di Facebooknya dan menunjukkan kepada mahkamah dalam tempoh 24 jam bahawa dia telah memadamkan kesemua hantaran fitnah itu.
Ismail turut memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejen Anina untuk mengulangi kenyataan berbaur fitnah itu di mana-mana akaun media sosial miliknya atau kendaliannya.
Plaintif turut meminta Anina untuk mengeluarkan kenyataan maaf yang akan diterbitkan di laman Facebook miliknya dan di dua akhbar pilihan Ismail setiap hari selama dua minggu.
Ismail turut memohon ganti rugi am, teladan dan tambahan yang tidak dinyatakan jumlahnya. Turut dimohon ialah faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai. -UTUSAN ONLINE