Ipoh bandar raya pintar menjelang 2030 - Utusan Malaysia

Ipoh bandar raya pintar menjelang 2030

SAARANI Mohamad (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian persefahaman (MoU) di antara Rumaizi Baharin (kiri) dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ipoh bakal menjadi bandar raya pintar keempat negara menjelang tahun 2030 menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Bandar Pintar melibatkan kerjasama pelbagai pihak dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai penerajunya.

Pelan tindakan tersebut akan dimulakan di Ipoh selaku ibu negeri sebelum diperluaskan ke bandar-bandar lain di negeri ini untuk menjayakan misi menjadikan Perak sebagai negeri pintar.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pelan tindakan itu juga membabitkan perjanjian persefahaman antara PLANMalaysia, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Sains Malaysia (USM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta syarikat pemaju hartanah, Sunway Bhd.

Menurut beliau, kerjasama ini membolehkan Ipoh dibangunkan secara integrasi dengan matlamat untuk menyediakan warga bandar ini dengan gaya hidup berteraskan aplikasi teknologi.

“Pelan ini menyasarkan tujuh teras capaian kepintaran membabitkan kehidupan, persekitaran, pentadbiran, warga, infrastruktur digital, ekonomi dan mobiliti sebagai penyelesaian kepada 24 cabaran perbandaran serta potensi yang telah dikenal pasti.

“Justeru, pelan tindakan tersebut telah mengenal pasti 37 projek yang menggariskan empat fasa pelaksanaan dalam tempoh 10 tahun iaitu merangkumi projek ‘quick win’, projek jangka pendek, projek jangka sederhana dan projek jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh di Hotel Kinta Riverfront di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Pada majlis tersebut, Saarani turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi menjayakan Pelan Tindakan Bandar Pintar antara MBI dengan tiga pihak iaitu USAS, TNB dan Sunway Berhad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB menerusi anak syarikatnya, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) bekerjasama dengan MBI untuk memasang panel solar fotovoltaik (PV) di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini.

“Ini merupakan kerjasama pertama GSPARX dengan pihak berkuasa tempatan di Perak manakala UTC Perak merupakan UTC pertama menggunakan panel solar tersebut.

“Pemasangan PV ini bukan sahaja melestarikan alam sekitar malah mampu memberi penjimatan bil elektrik kepada MBI sehingga RM2.5 juta bagi tempoh 21 tahun,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN